Dr. R. Kunaseegaran, 55, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes berkenaan berkata, dia tiada sebab untuk berbuat demikian biarpun Kevin Morais adalah timbalan pendakwa raya bagi kes rasuah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Kunaseegaran berkata, Kevin Morais hanya melaksanakan tugas se­bagai pihak pendakwaan dengan baik dan ba­nyak membantunya dalam memudahkan urusan melibatkan kes ra­suah tersebut.
“Kalau kata saya gembira dia dakwa saya, sudah tentu tidak. Tetapi saya sudah guna undang-undang untuk membela diri saya.
“Saya biarkan peguam bercakap bagi pihak saya. Saya tidak pernah cakap apa-apa pada Kevin Morais dan saudara-maranya,” katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakilinya berhubung teori dia begitu marah dengan Kevin Morais yang mengendalikan kesnya di Mahkamah Shah Alam.
Perbicaraan hari pertama pe­ringkat bela diri itu yang bermula tenang bertukar sedikit tegang apabila saksi tersebut mula beremosi dalam memberi keterangan berhubung teori berkenaan.
“Semua orang seperti ingat saya kecewa dengan Kevin Morais. Apa bukti yang kamu semua ada, tunjukkan. Adakah saya pernah mengugut sesiapa? Tidak,” katanya dengan nada menjerit sebelum ditenangkan oleh peguamnya.
Dia kemudian berulang kali memohon maaf kepada mah­kamah dan berkata dia berada di dalam penjara selama dua tahun setengah dan berasa sangat tertekan serta tidak berniat untuk memarahi mana-mana pihak.
Hakim Datuk Azman Abdullah turut menasihati pakar patologi itu supaya bertenang dan menjawab soalan yang ditanya dengan baik kerana semua kete­rangan akan direkod.
Saksi pembelaan pertama itu juga mengulangi pendirian yang sama ketika pemeriksaan semula bahawa dia tidak pernah melihat Kevin Morais sebagai musuh dan berharap mendiang pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat ketika mendengar berita kehilangannya.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam sesi pemeriksaan balas, Kunaseegaran tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan yang mencadangkan hanya dia mempunyai motif untuk membunuh atau mengupah individu bagi berbuat demikian.
Selain Kunaseegaran, empat penganggur, R. Dinishwaran, 26; A.K. Thinesh Kumar, 25, M. Vishwanath, 28, S. Nimalan, 25, dan pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 47, didakwa membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.
Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mayat Kevin Morais ditemukan di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Su­bang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azman bersambung esok.
sumber utusan online