Sunday, January 16, 2022

APAKAH MUHYIDDIN AKAN DIPILIH SEMULA DUN GAMBIR PRN JOHOR?

 YB Peja, usah keliru dan pening-pening kepala. Maksud pengkhianat parti itu mudah sahaja: Yang melompat parti dan mengkhianat mandat rakyat. 


Contoh: Di Pagoh, daripada 23,558 pengundi yang mengundi Tan Sri Muhyiddin pada PRU-14 yang lepas, lebih daripada separuh atau dalam 12 ribu daripada itu adalah pengundi Cina yang telah mengundi Muhyiddin yang bertanding atas tiket PH. 


Adakah YB rasa 12 ribu pengundi Cina ini berpuas hati dan rasa tidak dikhianati apabila Muhyiddin lompat parti (keluar PH)? Dan adakah YB rasa 12 ribu pengundi Cina ini masih sokong dan akan undi Muhyiddin semula? 


Jika tidak, maksudnya Muhyiddin kini tidak lagi disokong oleh lebih separuh daripada pengundi yang telah mengundinya dahulu. 


Ini juga bermakna, walaupun dia masih Ahli Parlimen di Pagoh, tetapi hakikatnya dia tidak lagi ada majoriti di Pagoh dan telah hilang legitimasi moral untuk mewakili rakyat Pagoh sebagai wakil rakyat di dalam atau di luar Dewan. 


Calon Barisan Nasional yang telah memperoleh 16,631 undi di Pagoh dahulu sebenarnya lebih layak dan lebih mempunyai legitimasi untuk mewakili rakyat di Pagoh berbanding Muhyiddin kerana calon BN tersebut mempunyai sokongan yang lebih banyak di Pagoh kini setelah Muhyiddin melompat parti keluar PH.


Di kawasan YB sendiri iaitu Tambun, pada PRU-14 yang lepas YB telah dapat 38,661 undi atas tiket PH. Tetapi lebih 21 ribu daripada undi yang YB dapat ini adalah daripada undi bukan Melayu yang telah undi PH. 


Jika ditolak sokongan mereka ini apabila YB lompat parti keluar PH, YB sebenarnya telahpun kalah kepada calon Barisan Nasional dengan majoriti 17 ribu undi memihak kepada BN kerana BN telah mendapat 33,341 undi. 


Oleh itu, secara jujurnya, adakah YB rasa YB masih layak untuk mewakili rakyat di kawasan Parlimen YB ini dan menggubal undang-undang dan dasar untuk mereka walaupun YB sebenarnya tidak lagi ada sokongan majoriti di kawasan yang YB wakili?


Samalah kisahnya dengan pelompat-pelompat parti yang telah mengkhianati UMNO dan menyertai parti YB (PPBM). Adakah YB rasa pengundi-pengundi Melayu dan UMNO yang telah mengundi wakil-wakil rakyat ini pada PRU-14 dahulu masih menyokong mereka apabila mereka melompat parti dan akan undi mereka semula kini?


Ia lebih teruk jika pelompat parti dan pengkhianat ini menjadi menteri dan memegang portfolio pentadbiran kerajaan dan membuat dasar. 


Dasar-dasar yang dibuat tanpa kepercayaan rakyat terhadap legitimasi pembuat dasar (wakil rakyat yang mengkhianat atau melompat parti) sukar untuk diyakini, diterima dan dilaksana oleh banyak pihak kerana dasar-dasar ini tidak lagi mewakili suara majoriti.


Ianya bukan sahaja melunturkan keyakinan rakyat dan penjawat awam yang perlu melaksanakan dasar-dasar ini, malah ia memberi kesan negatif kepada keyakinan pasaran dan pelabur.


Lebih 80 peratus daripada 31 Ahli Parlimen dalam parti YB (PPBM) adalah pelompat parti, sebahagian daripada mereka menjadi menteri.


Keadaan politik yang tidak stabil akibat lompat-melompat parti oleh pengkhianat seperti yang dibuat oleh parti YB ini (PPBM) menyukarkan pemulihan ekonomi negara dan rakyat. 


Kerajaan yang dibentuk tanpa mandat rakyat yang hanya boleh diperoleh melalui pilihanraya tidak akan stabil dan ianya cenderung kepada kegagalan.


Dua tahun lepas kerajaan telah dibentuk melalui Langkah Sheraton tanpa mandat rakyat kerana pilihanraya tidak boleh dilaksanakan akibat wabak COVID-19 yang mula merebak tanpa adanya benteng pertahanan seperti vaksinasi yang ada kini.


Selepas dua tahun dan dengan peratusan vaksinasi yang tinggi serta selepas hampir semua sektor ekonomi telahpun dibuka, kita telah adakan pilihanraya-pilihanraya negeri di Sarawak dan Melaka dengan keadaan wabak yang terkawal. 


Sekarang YB kata tiada keperluan untuk adakan pilihanraya di Johor. Saya tidak bersetuju. Biarlah rakyat Johor dan kerajaan Johor yang menentukan.


Dulu rakan YB yang galak mengugut untuk tekan butang jatuhkan kerajaan Johor. Sekarang apa sudah jadi?


Jika di Sarawak dan Melaka boleh diadakan pilihanraya, apakah yang menghalang dan menjadi alasan untuk tidak mengadakan pilihanraya di Johor selepas musibah banjir ini reda? 


Mengapa di Melaka dan Sarawak boleh tetapi di negeri-negeri lain tidak boleh pula sedangkan di negeri tersebut keadaan majoriti yang amat tipis menyukarkan pentadbiran kerajaan untuk membantu rakyat? 


Pilihanraya tidak boleh diadakan berdasarkan bila ia senang (convenient) kepada ahli-ahli politik dan menteri. Ia perlu diadakan apabila mandat rakyat perlu diperoleh untuk memberi legitimasi kepada kerajaan dengan secepat mungkin seperti yang diperlukan sekarang. 


Sebab itu untuk menyelesaikan masalah ini kita perlu kembalikan semula mandat kepada rakyat melalui pilihanraya untuk menentukan legitimasi wakil-wakil rakyat yang mewakili mereka supaya kerajaan yang dibentuk adalah lebih stabil dan berlegitimasi agar pemulihan ekonomi negara dapat dibuat dengan lebih cepat dan berkesan melalui dasar-dasar yang lebih diyakini.


Usahlah cuba untuk melambat-lambatkan proses mendapatkan mandat rakyat ini dan berdegil ingin berpaut kepada jawatan kerajaan sehingga habis penggal tahun depan pula. Kita perlu buat pilihanraya sebaik sahaja wabak COVID-19 dan musibah banjir ditangani dan reda dalam tempoh beberapa bulan tahun ini. 


Selepas pilihanraya kita perlu gubal akta lompat parti supaya puak-puak pelompat dan pengkhianat parti ini tidak lagi boleh mengganggu-gugat kestabilan politik dan ekonomi negara. 


Selagi isu mandat ini tidak selesai selagi itu pelabur tidak akan yakin untuk melabur, dan selagi itu pemulihan ekonomi negara akan terbantut.


YB, cubalah fahamkan hal ini dan usahlah keliru dan pening-pening lagi.


Ikhlas dan salam,

ISHAM JALIL

16 Januari 2022


https://www.facebook.com/100044476781936/posts/485636692928886/?d=n




No comments:

Post a Comment

BERAPA LAMA KERAJAAN ISMAIL SABRI BOLEH BERTAHAN

  Tempoh bertenang, wait and see bagi kerajaan sheraton Ismail Sabri sebagai PM mungkin telah tamat sepertimana yang dinikmati oleh Muhyiddi...