////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////
TMI
1. PM DS Najib sekali lagi terlepas peluang untuk melakukan sesuatu
kelainan bagi membuktikan bahawa beliau komited dengan Perubahan dan
Rekonsiliasi Nasional. Najib juga gagal memulihkan kepercayaan bahwa
beliau adalah seorang negarawan bahkan sebaliknya memperkukuhkan title
‘Autokrat Baru’ dan ‘Demokrat Palsu’ (False Democrat) yang pernah
diberikan oleh seorang penulis Mark Mackinnon (Globe and Mail, 2012).
2. Sidang Parlimen ke-13 bermula semalam dengan pemilihan Yang DiPertua
Dewan Rakyat (YDDR) serta angkat sumpah ahli parlimen. Terdahulu telah
disebut-sebut supaya amalan parlimen wajar mengalami penambahbaikan
dengan mengizinkan calon dari pihak pembangkang di angkat menjadi YDDR.
3. Sebelum persidangan, Barisan Nasional (BN) telah sekali lagi
mencalonkan Tan Sri Padikar Amin sementara Pakatan Rakyat mencalonkan
bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman. Amalan
memilih Speaker dari pencalonan pihak pembangkang memberikan lonjakan
imej parlimen di negara ini menghampiri negara maju seperti menyaksikan
seorang Speaker dari Parti Buruh semasa Perdana Menteri John Major dari
Parti Konservatif di United Kingdom.
4. Malangnya, setelah diberitahu akan hasrat ini secara terbuka,
ianya tidak langsung tampaknya diberikan layanan menasabah oleh PM
Najib. Benar, Setiausaha Parlimen Datuk Rosmee Hamzah yang
mempengerusikan acara pemilihan. Namun Najib masih boleh bertindak untuk
memperbetulkan dan menentukan peraturan lebih menepati peraturan
Standing Order 4 (4) yang ringkasnya bermaksud supaya pengundian
dilakukan secara rahsia ‘secret ballot’ dengan tidak memerlukan Ahli
Parlimen meletakkan namanya di atas kertas undi (ballot paper).
5. Keputusan pemilihan, ketika dilakukan dengan secara ‘tidak rahsia’
tentunya adalah seperti diramal. Pandikar mendapat 133 undi sementara
Abdul Kadir, mendapat seluruhnya undi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yakni
89. Amalan mengundi secara ‘secret ballot’ atau rahsia bertujuan untuk
mengizinkan Ahli Parlimen (khasnya ‘backbenchers’ kerajaan) mengundi
mengikut ‘conscience’ atau ‘dhamir’ berdasarkan kekuatan fakta dan
hujjah.
6. Dengan kata lain, Ahli Parlimen boleh membuat ‘pendirian sendiri’
atau ‘break rank’ dalam isu atau rang undang-undang tertentu yang
melibatkan kemaslahatan rakyat dan negara melebihi kepentingan parti
atau koalisinya. Ini juga adalah antara ciri politik matang yang
disaksikan di negara lebih ‘advanced’ demokrasinya dan terkeluar dari
amalan biasa yakni ‘bloc voting’ atau ‘mengundi secara blok’ yakni
kerajaan atau pembangkang. Itulah yang diharapkan berlaku dalam
pemilihan YDDR semalam.
7. Kegagalan Najib untuk melakukan satu ‘kelainan’ sesuai dengan dakwaan
beliau serius untuk berubah, dibaca oleh umum dengan pelbagai tafsiran.
Yang paling jelasnya Najib bukanlah pemimpin yang mampu membuat
‘kejutan’ yang sifatnya terlalu ‘konvensional’ dan ‘mudah diramal‘
(predictable). Justeru beliau tidak pernah ditanggapi mampu memecah
tradisi atau berkeupayaan melakukan ‘breakhthrough’ dalam
kepemimpinannya. Beliau lebih dikenali sebagai seorang pemimpin yang
‘play-safe’ dan jauh lagi untuk menjadi ‘risk-taker’ atau ‘pengambil
risiko’ tinggi dalam percaturan politiknya. Beliau telah terbiasa begitu
sejak azali lagi, kehidupan yang mudah, selesa dan banyak dibantu oleh
penasihat khasnya mutakhir ini dengan perunding antarabangsa.
8. Tafsiran mudahnya beliau takut kepada ahli parlimennya. Sebabnya?
Jelas. Beliau seperti dibayangi ketakutan akan kemungkinan ada Ahli
Parlimen BN yang merancang untuk belot dan menikamnya dari belakang.
9. Bukankah telah tersebarnya berita bahawa sekitar 30 Ahli Parlimen
dari Sabah dan Sarawak mengadakan perjumpaan dengan Tengku Razaleigh.
Mereka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan Najib. Ini telah
menimbulkan kegusaran bukan kepalang buat Najib. Hampir sahaja beliau
mahu mangadu kepada lawannya, Ketua Pembangkang.
10. Dengan Sabah dan Sarawak menyumbang 1/3 daripada kemenangan BN
tetapi hanya diberikan 20 jawatan menteri dan timbalan menteri telah
menimbulkan ketakutan bahawa mungkin mereka akan melakukan protes dan
sabotaj. Najib gusar, meskipu ada seorang kroni Najib dikatakan telah
membayar setiap seorang RM5 juta mengikut satu penulisan seorang
kolumnis tempatan.
11. Perbuatan menyingkirkan Pak Lah kini kembali menghantuinya setelah
dia sendiri gagal mengembalikan penguasaan 2/3 majoriti BN di Dewan
Rakyat. Dia juga adalah Panglima Perang Umno-BN di Selangor yang
kecundang. Bayangkan, kekalahan calon YDDR BN tentunya menandakan bahawa
beliau tidak lagi mengecapi kepercayaan ahli parlimen BN sendiri. Lalu
beliau wajar bubarkan parlimen segera andainya itu berlaku. Risiko
terlalu besar untuk diperjudikan seluruh karier politiknya dengan isu
pemilihan YDDR. Najib ambil jalan selamat dan persetankan segala
kehendak rakyat dan perubahan.
12. Untuk sementara ini Najib boleh berhenti berangan-angan untuk
mendapat sokongan Pakatan Rakyat ke arah Rekonsiliasi Negara. Lebih
menekankan lagi adalah ujian seterusnya tentang penubuhan sebuah Panel
Khas Parlimen yang akan memantau penubuhan dan perjalanan Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR). Pakatan Rakyat mungkin sahaja menuntut supaya
perlantikan calon Pengerusi SPR ialah calon yang dicadangkan Pakatan
Rakyat sekali lagi.
13. Sebagai prasyarat penubuhan SPR baru ini yang diletakkan di bawah
pemantauan sebuah Panel Khas Parlimen, semua Pengerusi, Timbalan dan
Setiausaha serta anggota SPR yang ada ini, mesti meletakkan jawatan
segera.
14. Najib telah terlepas peluang melakukan yang terbaik dalam hal
pemilihan YDDR. Apakah Najib juga akan mengulangi kesilapannya dalam kes
SPR nanti?
Sila pantau politik negara dalam sesi parlimen ke-13 ini yang semakin sengit tetapi menarik. Inilah antara hadiah Politik Baru!