Pertelingkahan pembangkang membantu UMNO dilihat kuat..
17/12/2011 4:22pm
PONTIAN 17 Dis. – UMNO tidak mempunyai sebarang kaitan dalam  pertelingkahan terbuka yang kini berlaku di antara beberapa pemimpin  kanan pakatan pembangkang, kata ketua penerangannya, Datuk Ahmad Maslan.  
Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  berkata, pertelingkahan yang berlaku sesama pemimpin pembangkang itu  merupakan bukti jelas bahawa pakatan pembangkang sedang berhadapan  dengan krisis.
"Apa yang berlaku pada pembangkang seperti Lim Boo Chang keluar Parti  Keadilan Rakyat (PKR) dan pertelingkahan di antara Karpal Singh dan Dr  P. Ramasamy serta Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa adalah  petanda krisis terkini yang berlaku di dalam pembangkang.
"Ia tiada kaitan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Jikalau  mereka keluar daripada PKR dan masuk Gerakan, ia adalah tarikan kepada  apa yang kita buat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ahmad berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan  tanaman semula kelapa sawit dan getah oleh RISDA kepada pekebun-pekebun  kecil Parlimen Pontian di Parit Haji Sapran.
Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali  semalam bahawa Hassan, yang merupakan exco Selangor dan Nasharuddin,  bekas Setiausaha Agung PAS, telah ”terheret” ke dalam agenda UMNO untuk  melemahkan parti itu. – BERNAMA