KUALA  LUMPUR 25 OGOS : Pemimpin dan ahli-ahli PAS pelbagai peringkat termasuk  Dewan Pemuda parti Islam itu mengambil langkah untuk mengekalkan  momentum perhimpunan Bersih 2.0 sempena musim sambutan Aidilfitri yang  jatuh minggu depan.
Antara langkah itu ialah penerbitan poster berkaitan lapan tuntutan pembaharuan pilihan raya yang dibawa oleh Bersih 2.0.
Usaha itu digerakkan oleh parti itu ketika spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat terus meningkat.
Awal bulan lalu, Bersih 2.0 bergerak bersandarkan warna  kuning manakala kumpulan yang menentangnya, khususnya pihak Pemuda Umno  menggunakan warna merah dengan moto “Patriot”.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor memberitahu  The Malaysian Insider, pihaknya akan mengedarkan sekitar 30,000 poster  di seluruh negara untuk meneruskan semangat Bersih 2.0 yang disaksikan  awal bulan lalu.
Penganjur Bersih 2.0 mendakwa sekitar 50,000 berhimpun di ibu negara di sebalik larangan dan kawalan keselamatan ketat polis.
“Poster-poster ini akan diedarkan kepada kepimpinan PAS  di seluruh negara agar momentum sedia ada ini dapat diteruskan, kami  tidak mahu momentum yang telah dibina ketika perhimpunan Bersih 2.0  tempoh hari hilang begitu sahaja.
“Ini salah satu cara... usaha Dewan Pemuda PAS, di bawah penyeliaan lajnah penerangan,” kata beliau ketika dihubungi.
Riduan menambah, pihaknya merasakan usaha tersebut  penting memandangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan isu  Bersih 2.0 dan kedudukan Pengerusinya Datuk S Ambiga untuk terus  mengelirukan pengundi kawasan luar bandar khususnya orang Melayu.
“Justeru, kami merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk  melawan taktik Umno dan BN ini, dan menjelaskan keadaan sebenar tuntutan  Bersih... bahawa ia diadakan demi kepentingan rakyat semua kaum dan  agama, bukan sebagaimana didakwa oleh Umno,” katanya lagi.
Dengan merujuk kepada pendirian tidak konsisten Putrajaya  berhubung soal pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen, kata  beliau, pihaknya juga mengambil langkah tersebut kerana sedar bahawa ada  kemungkinan tidak akan menunaikan janji pembaharuan.
“Kami tidak yakin kerajaan akan melakukan pembaharuan  pilihan raya, jadi sekiranya tiada pembaharuan, kami mahu perhimpunan  kali ketiga diadakan... Bersih 3.0 diadakan kemudian... ini persiapan ke  arah itu,” kata beliau lagi.
“Untuk itu kita perlu meneruskan momentum sedia ada, jangan biarkan ia mati begitu sahaja,” kata beliau.
Poster itu menggariskan kesemua lapan tuntutan dibawa Bersih 2.0, kata Riduan.
Bersih 2.0 atau Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil  telah mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan  pengendalian pilihan raya negara ini dengan mengadakan perhimpunan di  ibu negara pada 9 Julai lalu.
Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya  Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi  pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minimum 21 hari, akses media yang  bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan  politik kotor.
Selain itu, PAS, anggota komponen Pakatan Rakyat, juga  mengedarkan mesej Bersih 2.0 dalam bentuk kad ucapan Aidilfitri dan  sampul duit raya.
Beberapa PAS kawasan dikatakan mengeluarkan sampul duit raya menjelang sambutan Aidilfitri kali ini.
“Memang ada kawasan yang mengeluarkan sampul duit raya, saya difahamkan PAS kawasan Gombak,” kata Riduan.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS pusat Datuk Tuan  Ibrahim Tuan Man berkata, sekretariat pusat parti itu tidak mengeluarkan  sampul duit raya khas tetapi ada kad raya yang menggunakan mesej Bersih  2.0.
“Kalau ada sampul duit raya dikeluarkan, ia mungkin  dibuat oleh PAS kawasan... ia usaha masing-masing PAS kawasan. Tetapi  setahu saya ada kad raya, kami senaraikan lapan tuntutan Bersih 2.0,”  katanya.
Tinjauan The Malaysian Insider baru-baru ini mendapati,  antara PAS kawasan yang berbuat demikian ialah Kuala Selangor, yang  menghulurkan duit raya kepada keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan  dan berpendapatan rendah dengan menggunakan sampul duit raya khas.
Ini kali pertama PAS, yang sinonim dengan warna hijau, menggunakan sampul duit raya berwarna kuning.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad mengakui  usaha itu sebahagian daripada langkah menghidupkan terus “semangat  menuntut pembaharuan pilihan raya” sempena sambutan Aidilfitri.
“Kalau sampul duit raya dalam warna kuning, ya, ini kali pertama... menggunakan mesej Berih,” katanya.
“Ini salah satu cara. Selain itu, kami juga akan  mengedarkan kit maklumat mengenai isu-isu semasa dan Bersih. Kami perlu  mengekalkan semangat menuntut pembaharuan ini,” kata beliau lagi.