1. Keputusan tersebut sudah diketahui sejak awal isu RUU 355 dibangkitkan pada tahun 2014 lagi. Saya tidak terkejut dengan keputusan Najib pada 29 Mac 2017 kelmarin.
2. Sejak awal lagi saya mengambil sikap jika kerajaan melihat isu RUU 355 sebagai keperluan perundangan dan isu substantif, pastinya kerajaan sendiri akan membuat inisiatif. Tetapi oleh kerana motif awal ialah kepentingan politik maka RUU 355 digunakan untuk pecahkan PR ketika itu dan melemahkan PAS dengan pembersihan golongan progresif dan pro-PR. Malangnya, tujuan politik itu berjaya dilakukan.
3. RUU 355 telah memecahbahkan orang Islam sendiri sehingga mengheret ke kancah takfir kerana menganggap ia adalah 'undang Islam Hudud' menolaknya adalah sesuatu yang 'gugur aqidah'. Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan digunakan untuk menyatakan semua ahli parlimen 'wajib' sokong sedangkan RUU 355 masih kabur lagi perinciannya.
4. Ahli parlimen muslim ditekan sehingga apabila kami mengkritik kaedah dan prosedur serta proses perundangan dikira sudah menolak 'hukum Allah'. Himpunan ungu memperlihatkan terdesaknya PAS dan UMNO mahu menggunakan sentimen Islam-Melayu sehingga menimbulkan kebimbangan kepada asas negara ini dibina iaitu permuwafakatan dan perpaduan nasional antara kaum dan agama.
5. Saya memahami lebih awal isu RUU 355 juga adalah untuk alihkan isu dan 'mendiamkan' isu sebenar negara seperti kleptokrasi dan salahguna kuasa Najib dan BN.
Amat menyedihkan isu Mahkamah Syariah dijadikan umpan dan lebih sedih PAS 'tidak menyerang' UMNO kerana seolah terikat dengan perjanjian RUU 355 dengan UMNO.
Akhirnya marilah kita sedar bahaw isu negara hari ini adalah isu kleptokrasi, salahguna kuasa dan kesannya mengheret negara kepada keberhutangan, nilai RM yang jatuh, inflasi dan keputusan pelaburan untuk selamatkan kleptokrasi dan bukan keputusan pelaburan untuk kepentingan negara. Hentikan polemik RUU 355, SELAMATKAN NEGARA.
*Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa*
*Ahli Parlimen Malaysia*
*Naib Presiden Parti Amanah Negara*
*30 Mac 2017*