Siapa yang kena? anwar ibrahim? rafizi? tian chua?
Kerajaan sudah berindak?...
Lu orang jangan mimpi...
Konsep penghinaan mahkamah secara ringkas bagi tatapan dan panduan
sahabat-sahabat sekalian. Sebahagian daripada artikel ini ada dimuatkan di
dalam buku Undang-Undang Tatacara mal, Prinsip dan Amalan yang dijangka akan
diterbitkan tak lama lagi. Artikel ini bagaimanapun tidaklah mengupas secara
terperinci mengenai konsep penghinaan mahkamah sepertimana yang disentuh di
dalam buku sebelumnya, "Penghinaan Mahkamah: Undang-Undang Sivil dan
Undang-Undang Islam", ianya lebih banyak menyentuh mengenai prosiding atau
tatacara di Mahkamah Syariah. Semoga ianya dapat membantu sahabat-sahabat dan
memberikan ilmu yang bermanfaat.
BAB 16
PENGHINAAN MAHKAMAH
PENDAHULUAN
Di Malaysia, undang-undang Islam,
setakat yang dibenarkan, dilaksanakan di Mahkamah Syariah. Penubuhan Mahkamah
Syariah adalah berdasarkan peruntukan perlembagaan yang memberi kuasa kepada
negeri untuk mentadbir undang-undang Islam yang digolongkan sebagai
undang-undang diri (personal law) berdasarkan kehendak Jadual ke-9, Senarai 2
Butiran 1. Walaupun bidang kuasa Mahkamah Syariah diberikan hanya dalam
undang-undang diri, ia disertakan pula dengan sekatan tertentu melalui
peruntukan perlembagaan dan akta. Walau apa pun sekatan, Mahkamah Syariah
adalah satu badan tertinggi di Malaysia yang melaksanakan undang-undang Islam
setakat yang diberikan.
Menegakkan institusi kehakiman
syariah merupakan satu tuntutan syarak kerana hukum syarak tidak akan dapat
dilaksanakan dan dihayati tanpa adanya institusi ini. Dengan menegakkan dan
melaksanakan kehakiman syariah bermakna keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman
dapat dihapuskan. Perkara ini adalah selaras dengan tujuan penggubalan
undang-undang iaitu untuk mencapai keadilan dengan menyelesaikan pertikaian dan
perbalahan, menghukum pihak yang bersalah, memberikan hak kepada pihak yang
berhak dan menempatkan sesuatu pada tempatnya, dan mengelakkan serta
menghapuskan kezaliman. Berdasarkan kepada prinsip inilah, maka menghormati
kemuliaan kepada Mahkamah Syariah itu adalah menjadi satu tuntutan. Apa-apa
tindakan sama ada berbentuk fizikal seperti mencemuh, mengkritik, menghalang
perjalanan prosiding sama ada secara lisan, tulisan ataupun reaksi secara
langsung atau tidak langsung yang boleh menyebabkan kemuliaan atau kehormatan
Mahkamah Syariah tercemar atau aib boleh dikenakan tindakan kesalahan
penghinaan Mahkamah.
Apa Itu Penghinaan Mahkamah
Prinsip penghinaan Mahkamah di
Mahkamah Syariah ini pada asasnya diambil dari amalan di Mahkamah-mahkamah
awam. Oleh kerana prinsip ini tidak bertentangan dengan hukum syarak, malah
menegakkan prinsip ini akan menambahkan lagi kemuliaan dan kehormatan kepada
Mahkamah Syariah, maka prinsip ini diguna pakai dan menjadi teras kepada
Mahkamah Syariah untuk mempertahankan kewibawaan dan integritinya.
Perkataan ‘penghinaan mahkamah’ ini
diambil dari perkataan Inggeris iaitu ‘contempt of court’. Perkataan contempt
bermaksud penghinaan atau sikap memandang rendah kepada kepada sesuatu perkara.
Menurut A.S Hornby dalam Oxford Dictionary Of Current English, ‘contempt’ atau
penghinaan ialah satu unsur memandang rendah kepada sesuatu pekara atau tidak
mengendahkan (mempedulikan): iaitu dalam semua bentuk peraturan atau
undang-undang. Apabila disebut ‘contempt of court’ atau penghinaan Mahkamah, ia
memberi maksud tidak mematuhi terhadap perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah
atau tidak menghormati sistem kehakiman .
K.J. Aiyars memberikan pengertian
yang sama mengenai maksud penghinaan mahkamah ini di mana beliau mendefinisikan
sebagai suatu sikap yang tidak mematuhi perintah mahkamah atau tidak
menghormati hakim . Dalam Encyclopedia Of The Law Of England, prinsip
penghinaan ini diterima di dalam perundangan di mana ia merupakan satu unsur
dalam kesalahan sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung, yang
bertentangan dengan perintah hakim atau mereka yang mengetuai undang-undang
ataupun mencabar kedudukan hakim yang menjalankan tugas pentadbiran keadilan.
Maksud penghinaan dalam makna asalnya ialah mana-mana kesalahan menghina atau
merendahkan authority kedudukan raja atau individu yang dilantik sebagai wakil
raja yang berfungsi menjalankan pentadbiran keadilan .
Jika dilihat kepada pengertian ini,
Mahkamah Syariah di Malaysia adalah satu-satunya badan terunggul yang
melaksanakan undang-undang Islam setakat yang diberikan oleh Perlembagaan.
Kuasanya adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan badan-badan yang
berbentuk keagamaan yang lain. Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah
adalah perintah yang selaras dengan aturan syariat secara langsung dari Allah
s.w.t. Melanggari perintah tersebut adalah sesuatu jenayah yang serius kerana
mengingkari perintah Allah yang disalurkan melalui Mahkamah Syariah.
JENIS-JENIS PENGHINAAN MAHKAMAH
Penghinaan mahkamah boleh jadi
berlaku melalui kesalahan jenayah atau sivil. Kesalahan yang berlaku itu
mungkin akibat daripada perkataan, kelakuan atau apa-apa bentuk penulisan yang
menghalang atau boleh menghalang kelicinan pentadbiran keadilan .
Penghinaan mahkamah dalam bentuk
jenayah adalah seperti merendahkan nama baik hakim, menuduh hakim berat sebelah
dan sebagainya. Satu-satu kelakuan itu dikatakan penghinaan jenayah bila
mengandungi unsur-unsur kesalahan seperti campurtangan dalam pentadbiran keadilan
atau cuba merendahkan authority mahkamah dan mengganggu prosiding mahkamah .
Manakala penghinaan sivil atau mal
pula termasuklah tidak mematuhi mahkamah dengan sengaja seperti membantah
perintah mahkamah supaya memulangkan anak, tidak mengemukakan dokumen seperti
yang diarahkan oleh mahkamah, gagal mematuhi penghakiman atau proses mahkamah
yang lain termasuklah tidak mematuhi sepina, injunksi atau apa-apa perintah
atau arahan yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Di Mahkamah Syariah, kekerapan
kesalahan penghinaan mahkamah adalah berlaku dalam bentuk ini.
BENTUK-BENTUK PENGHINAAN MAHKAMAH
Umumnya, penghinaan mahkamah di
Mahkamah Syariah dapat dibahagikan kepada dua bentuk utama iaitu penghinaan
secara lamgsung dan penghinaan secara tidak langsung. Dalam perkataan lain ia
juga disebut penghinaan di dalam mahkamah dan juga penghinaan di luar mahkamah.
Penghinaan secara langsung atau di dalam mahkamah ialah perlakuan menghina
hakim secara terus. Manakala penghinaan secara tidak langsung atau penghinaan di
luar mahkamah ialah menghina hakim atau mahkamah semasa pelakunya tidak berada
di dalam mahkamah atau tidak dilihat oleh hakim.
Penghinaan secara langsung ini
disebut juga sebagai penghinaan in facie iaitu penghinaan yang dilakukan secara
langsung atau secara terus terhadap mahkamah atau di hadapan mahkamah (in the
face of the court). Manakala penghinaan secara tidak langsung pula disebut
sebagai penghinaan ex facie iaitu penghinaan yang dilakukan secara tidak
langsung atau kadang-kadang ia juga dikenali sebagai penghinaan konstruktif ,
iaitu penghinaan yang tidak berlaku di dalam mahkamah tapi bertujuan untuk
melemahkan pelaksanaan pentadbiran keadilan .
Perbezaan bentuk kesalahan
penghinaan mahkamah sama ada di dalam mahkamah atau kesalahan menghina di luar
mahkamah hendaklah diberi perhatian oleh hakim bicara. Mungkin sekali imbas
kedua-dua bentuk kesalahan ini nampaknya hampir sama, tetapi kesan dan
prosidingnya adalah berbeza walau pun hukuman yang diberikan adalah sama.
Kegagalan membezakan bentuk kesalahan penghinaan mahkamah ini menyebabkan
ketidak adilan berlaku kepada seseorang. Di dalam kes Ahmad bin Shapiai lwn
Hani binti itam Ali Husin , YA Dato’ Hj Mohd Asri bin Abdullah, KHS mengulas:
“Saya juga berpendapat bahawa
pertuduhan menghina mahkamah di bawah Enakmen Acara Mal 1996 sek. 219 hendaklah
diasingkan di antara penghinaan di dalam mahkamah dan luar mahkamah kerana
mengikut sek. 219 (5) menjelaskan jika seseorang melakukan penghinaan dalam
mahkamah, orang itu tidak perlu disampaikan notis tunjuk sebab selainnya notis
tunjuk sebab hendaklah disampaikan kepada orang yang dikatakan melakukan
penghinaan tersebut. Dalam kes ini nampaknya tuduhan penghinaan dalam mahkamah
di hadapan Hakim dan di luar mahkamah telah dicampuradukkan.”
PROSIDING PENGHINAAN MAHKAMAH
Bagi penghinaan mahkamah untuk kes
mal, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding di atas
usulnya sendiri terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah. Dalam
prosiding tersebut, mahkamah boleh, membuat suatu perintah untuk mengkomitkan
seseorang selama tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan
denda tidak melebihi dua ribu ringgit. Seksyen 229 (1) Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah (negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:
(1) Mahkamah mempunyai bidang kuasa
untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan
boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama
tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua
ribu ringgit.
Prosiding Penghinaan Di Dalam
Mahkamah (Secara Langsung)
Jika penghinaan mahkamah itu
dilakukan secara langsung, iaitu dilakukan di hadapan hakim atau di dalam
mahkamah, mahkamah boleh memulakan prosiding itu secara terus pada masa
tersebut tanpa perlu menyampaikan notis untuk menunjukkan sebab.
Mahkamah yang memulakan prosiding
tersebut, hendaklah mencatat kesalahan-kesalahan yang difikirkan telah
dilakukan oleh seseorang yang dikatakkan telah menghina mahkamah, merekodkan
kesalahan-kesalahan penghinaan yang dilakukan, menderaf dan dan membacakan
tuduhan tehadap orang yang dikatakan telah melakukan penghinaan itu dan
hendaklah memastikan bahawa orang itu faham tentang jenis kesalahan yang
dikatakan (dituduh) terhadapnya. Orang itu juga hendaklah diberi peluang
sewajarnya untuk membela atau mempertahankan dirinya. Pada masa yang sama
Mahkamah hendaklah mencatat dan merekodkan semua prosiding semasa proses
tersebut dilaksanakan. Seksyen 229 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:
(2) Jika penghinaan dilakukan di
dalam Mahkamah, maka tidaklah perlu bagi Mahkamah menyampaikan notis untuk
menunjukkan sebab tetapi Mahkamah hendaklah memastikan bahawa orang yang
dikatakan melakukan penghinaan itu faham tentang jenis kesalahan yang dikatakan
terhadapnya dan diberi peluang untuk didengar untuk membela dirinya, dan
Mahkamah hendaklah membuat suatu rekod yang sepatutnya mengenai prosiding itu.
Dalam kes Kamariah Salim lwn
Zulkifli Puteh, . Kes ini pada awalnya merupakan permohonan tuntutan fasakh
plaintif terhadap Defendan. Pernyataan pembelaan Defendan banyak mengandungi
pernyataan yang menghina mahkamah dan institusi kehakiman. Sepatutnya
pernyataan pembelaan mengandungi jawapan kepada tuntutan plaintif. Pada kali
pertama, YA Hakim memerintahkan supaya pihak Defendan menarik balik pernyataan
itu dan membuat pernyataan pembelaan yang lain. Defendan akur dengan perintah
mahkamah. Kali kedua, tiada perubahan yang berlaku dengan pernyataan pembelaan
yang dibuat malahan pernyataan penghinaan yang dibuat semakin berat sehingga
menyatakan “hakim syaitan”. Hakim kemudiannya mengarahkan Zulkifli (Defendan)
berjumpa pakar psikiatrik bagi menganalisis keadaan mentalnya. Tempoh masa yang
diberikan adalah selama dua bulan. Selepas dua bulan, laporan mengenai keadaann
mentalnya diperoleh dan menunjukkan keadaan mental Defendan adalah normal. Ini
bermakna tindakan yang dibuat oleh Defendan adalah satu tindakan yang tidak
dipengaruhi oleh tekanan mental ataupun bukanlah kerana dia mempunyai penyakit
mental. Berdasarkan laporan perubatan dan peluang yang diberikan, YA Hakim
telah mensabitkan kesalahan di bawah seksyen 220(1), iaitu penghinaan di dalam
Mahkamah dengan hukuman penjara selama tiga (3) hari. Hakim bicara telah
memberi faham akan kesan tindakannya, memberi peluang kepada Defendan untuk membela
diri, dan merekodkan semua prosiding terhadap kes tersebut.
Dalam kes yang diputuskan oleh
Mahkamah Rayuan Syariah di Ipoh perak, iaitu kes Ahmad bin Shapiai lwn Hani
binti itam Ali Husin , fakta kesnya ialah Perayu telah disabitkan kesalahan dan
dihukum penjara lima bulan. Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Kangsar pada 30.6.
1999 telah mengekalkan sabitan, keputusan dan penghukuman Mahkamah Rendah
Syariah kuala Kangsar pada 13.4.1999 dimana pemohon telah disabitkan bersalah
menghina mahkamah di bawah seksyen 219 (5) Enakmen Acara Mal Syariah 1996.
Persoalan undang-undang yang timbul ialah sama ada Mahkamah Rendah Syariah
gagal memberikan hak membela diri sebelum sabitan dibuat oleh Mahkamah Rendah
Syariah atau tidak kepada Perayu. Dalam kes tersebut, setelah tuduhan dibacakan
kepada tertuduh, Hakim telah bertanya sama ada tertuduh mengerti dan faham
semua yang Hakim sebutkan. Tertuduh mengangguk kepala menunjukkan dia faham dan
mengerti di atas tuduhan yang dibacakan. Di atas akuan faham akan tuduhan tersebut,
Hakim terus mensabitkan tertuduh bersalah. Panel Rayuan telah membuat ulasan
dengan menyatakan:
“Saya berpendapat YA Hakim Mahkamah
Tinggi Syariah yang mendengar rayuan ini telah terlepas pandang terhadap soal
utama yang menjadi asas persoalan undang-undang iaitu hak untuk membela diri
dalam tuduhan menghina mahkamah ini. Ia mungkin berbeza dari segi pertuduhan
jenayah biasa di mana setelah tuduhan dibaca kepada tertuduh ia hendaklah
ditanya sama ada faham terhadap tuduhan yang dibacakan dan hendaklah ditanya
pengakuannya, tetapi dalam kes menghina mahkamah ini pengakuannya tidak perlu
diambil tetapi apabila ia mengaku faham tuduhan yang dibacakan tertuduh
hendaklah diberi hak membela diri sebelum sabitan dibuat oleh Hakim.”
Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan
Syariah telah sebulat suara membenarkan rayuan Perayu dan sabitan hukuman
penjara selama lima bulan telah dibatalkan dan keputusan tersebut telah
diketepikan.
Dalam kes Zainur bin zakaria lwn
Pendakwa Raya (Penghina Mahkamah) , isu yang timbul ialah sama ada Hakim
perrbicaraan telah dengan betul mengguna pakai prosedur ringkas dalam
mensabitkan Perayu atas kesalahan penghinaan di dalam mahkamah. Steve LK Shim,
H.B (Sabah dan Sarawak) dalam ulasannya menyatakan:
“ Dalam prosiding penghinaan,
penghina yang didakwa mesti diberikan peluang yang munasabah untuk menyediakan
kesnya. Dalam kes ini, Hakim perbicaraan telah enggan membenarkan permohonan
perayu untuk penangguhan kes bagi beliau menyediakan pembelaan terhadap dakwaan
penghinaan dan untuk memanggil saksi. Memandangkan betapa beratnya dakwaan
tersebut, perayu sepatutnyadiberi peluang untuk memanggil saksi-saksi untuk
mematahkan dakwaan bahawa affidavit sokongan terhadap permohonan untuk
membatalkan dua orang pendakwa tersebut mengandungi hal-hal yang menghina.
Penangguhan juga patut diberikan supaya perayu dapat menyediakan pembelaan
beliau dengan lengkap. Di dalam kes ini perayu sebenarnya telah dinafikan
peluang daripada menjawab dakwaan terhadapnya. Dalam keadaan ini, prosedur
ringkas yang digunakan oleh Hakim perbicaraan telah tidak dilaksanakan
sewajarnya menyebabkan ketidak adilan kepada perayu.
Tindakan Hakim perbicaraan sendiri
telah menyebabkan prosiding tersebut, khususnya soal siasat ke atas perayu dan
cepatnya perayu disabitkan tanpa beliau dibenarkan memanggil sebarang saksi,
memberikan gambaran bahawa Hakim seolah-olah bertindak sebagai peguam bagi
kedua-dua pendakwa dalam usul tersebut.”
Dalam kes Public Prosecutor lwn
Seeralan. Hakim Tun Salleh Abbas telah menggariskan beberapa panduan dalam
prosedur penghinaan terhadap mahkamah di mana ia berdasarkan jawapan kepada
tiga soalan berikut:
(a) whether or not in law criminal
contempt has been committed in the face of the court by the respondent by
accusing the presiding magistrate in Port Dickson Magistrate’s Court Inquest
No. 47/1984 of being biased, unfair and prejudiced and by refusing to leave the
court when ordered to do so by the learned magistrate;
(b) if the answer to question (a)
is in the affirmative, then whether it is right in law for the learned
magistrate in the circumstances of this case to exercise his power of
punishment for contempt of court summarily;
(c) if the answer to question (b)
is in the affirmative, then whether it is right in
law for the iearned Judge to set
aside the order of the learned magistrate committing the respondent for
contempt of court in chambers without giving due notice or the right to be
heard to the public prosecutor?
Prosiding Penghinaan Di Luar
Mahkamah (Secara Tidak langsung)
Penghinaan di luar mahkamah
(contempt ex-facie of court) pula ialah penghinaan yang dilakukan bukan semasa
prosiding berjalan di dalam mahkamah, tetapi boleh jadi masih didalam prosiding
namun dilakukan di luar mahkamah. Contoh penghinaan diluar mahkamah adalah
seperti ingkar perintah mahkamah, membicarakan kes yang sudahpun menjadi sub
judice, membuat komen atau ulasan terhadap hakim atau mahkamah secara tidak
wajar, membuat tohmahan terhadap hakim dan sebagainya. Arahan Amalan No 13
Tahun 2004 ada menggambarkan beberapa contoh kesalahan penghinaan di luar
mahkamah. Arahan Amalan tersebut menyebut:
Penghinaan diluar Mahkamah
termasuklah:-
i. Keengganan mematuhi apa-apa
perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah ; atau
ii. Mengeluarkan apa-apa kenyataan
samada secara lisan atau bertulis oleh mana-mana orang atau badan atau
pertubuhan atau organisasi yang adalah satu perbuatan menghina Mahkamah
Syariah.
Prosiding penghinaan di luar
mahkamah ini bolehlah dimulakan oleh sama ada Pendakwa Syarie atau mana-mana
orang yang berkepentingan. Jika dimulakan oleh Pendakwa Syarie,
sekurang-kurangnya satu aduan (atau laporan) dibuat bagi membolehkan pendakwa
Syarie memulakan tindakan bagi meneruskan prosiding tersebut.
TATACARA PENGHINAAN MAHKAMAH YANG
DIMULAKAN OLEH PENDAKWA SYARIE
Untuk mempastikan pentadbiran
keadilan dilaksanakan mengikut kehendak Hukum Syarak dan agar kezaliman dapat
dielakkan, maka undang-undang yang berkaitan dengan kesalahan mengingkari,
melanggar, mempertikaikan serta menghina mahkamah telah digubal dan tindakan
jenayah boleh diambil ke atas mereka yang melakukannya. Peruntukan tersebut ada
terdapat di dalam enakmen. Apabila sesuatu kesalahan penghinaan mahkamah itu
dimulakan dengan satu aduan, maka tugas pengendalian kes penghinaan mahkamah
adalah menjadi tanggungjawab Pendakwa Syarie. Secara ringkas, dinyatakan disini
tatacara pendakwaan kes-kes jenayah bagi kesalahan penghinaan mahkamah bagi
memudahkan pemahaman. Jika kes penghinaan mahkamah ini dimulakan oleh Pendakwa
Syarie melalui satu aduan yang diterima, pengendaliannya di mahkamah adalah
sama sepertimana kes-kes jenayah biasa yang lain.
Pendakwaan
Tindakan jenayah ke atas pihak yang
ingkar perintah mahkamah bermula apabila mereka yang berkepentingan terhadap
sesuatu perintah mahkamah itu memberi maklumat atau membuat aduan kepada
pegawai penguatkuasa agama negeri. Selepas sesuatu maklumat atau aduan
diterima, pegawai penguatkuasa agama hendaklah melaksanakan tindakan yang
sewajarnya mengikut prosedur undang-undang yang diperuntukkan.
Selepas segala proses diperingkat
penguatkuasaan dilaksanakan dengan sempurna dan kertas siasatan disediakan
dengan lengkap tindakan seterusnya akan dikendalikan oleh Bahagian Pendakwaan
yang diketuai oleh seorang Ketua Pendakwa Syarie Negeri dan dibantu oleh
(Timbalan) Pendakwa-Pendakwa Syarie.
Bagi menjamin segala proses kerja
yang dilakukan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama dan tindakan pendakwaan berjalan
dengan sempurna tanpa menyalahi prosedur yang ditetapkan adalah menjadi
tanggungjawab Ketua Pendakwa Syarie Negeri. Sebagai langkah untuk mengawal,
Ketua Pendakwa Syarie Negeri perlu menyediakan suatu garis panduan atau “dasar
pendakwaan” yang bertujuan untuk memberi panduan kepada Pendakwa Syarie dan
Pegawai Penguatkuasa Agama dalam menjalankan sesuatu siasatan kes jenayah
syariah.
Selain daripada itu untuk menjamin
kelicinan proses kerja ini, Ketua Pendakwa Syarie dari semasa ke semasa boleh
mengeluarkan “Arahan Ketua Pendakwa Syarie” sebagaimana amalan Jabatan Peguam
Negara yang mengeluarkan “Arahan Pendakwaraya”. Perkara ini boleh dilakukan
kerana kuasa yang ada pada Ketua Pendakwa Syarie di dalam penentuan kes jenayah
Syariah adalah sama dengan kuasa yang ada pada Peguam Negara bagi kes jenayah
sivil.
Kriteria Dalam Membuat Keputusan
Pendakwaan Kesalahan Penghinaan Mahkamah
Keputusan samada untuk mendakwa
ataupun tidak dalam kes yang berkaitan dengan kesalahan ingkar perintah
mahkamah merupakan suatu langkah yang amat penting dalam proses pendakwaan.
Dalam setiap keputusan, pertimbangan yang wajar harus diberikan kepada
kepentingan mangsa/pengadu, orang yang disyaki dan masyarakat seluruhnya bagi
mempastikan keputusan yang betul dibuat. Keputusan yang salah atau tidak tepat
untuk mendakwa atau tidak mendakwa kedua-duanya boleh menjejaskan keyakinan
masyarakat terhadap sistem keadilan pentadbiran undang-undang syariah di negara
ini.
Dalam menentukan objektif
pendakwaan dapat dicapai iaitu untuk mendapatkan keadilan dengan membuktikan
tertuduh telah melakukan kesalahan seperti yang dikemukakan dalam pertuduhan,
dua kriteria penting perlu dilihat oleh pihak pendakwaan dalam membuat keputusan
iaitu:
a) keterangan yang cukup bagi
mewajarkan pendakwaan; dan
b) Kepentingan awam.
a) Keterangan Yang Cukup
Dalam menimbangkan kriteria ini
untuk membuat keputusan berkaitan pendakwaan kes ingkar perintah Mahkamah
adalah sama dengan kes-kes jenayah yang lain iaitu adalah keterangan yang ada
boleh membuktikan wujudnya “prima facie” kes yang boleh mensabitkan tertuduh di
peringkat akhir kes pendakwaan. Berhubung dengan pertimbangan yang perlu kepada
wujudnya “prima facie” selalu digunakan dalam membuat keputusan berkaitan
kes-kes jenayah. Jabatan Peguam Negara Malaysia dalam Arahan Pendakwa Raya Bil.
2 Tahun 1998 ada menetapkan:
“Keputusan untuk mendakwa bolehlah
dibuat dalam mana-mana kes setelah timbalan Pendakwa Raya meneliti dengan
terperinci pihak pendakwa boleh membuktikan kes “prima facie” terhadap orang
yang kena tuduh pada akhir kes pendakwaan”.
Dalam keadaan yang sama, amat wajar
kiranya Ketua-ketua Pendakwa Syarie Negeri mengeluarkan arahan seumpamanya
untuk menjadi garis panduan kepada Pendakwa-pendakwa Syarie semasa meneliti
kertas-kertas siasatan sebelum diangkat untuk pendakwaan. Dalam menentukan
samada terdapat prospek yang munasabah untuk mendapatkan sabitan terhadap
tertuduh, Pendakwa Syarie hendaklah menganalisis kekuatan kes tersebut
sekiranya tertuduh dituduh di mahkamah. Perkara-perkara yang perlu
dipertimbangkan kehadiran saksi-saksi yang kompeten dan berkredibiliti dan
kesan keterangan mereka kepada hakim dan lain-lain keterangan yang berkaitan.
Pendakwa Syarie hendaklah juga
memberi perhatian kepada apa-apa pembelaan yang mungkin boleh ditimbulkan oleh
pihak tertuduh atau peguamnya. Pada kebiasaannya, kelemahan dari segi teknikal
yang tidak diperhalusi oleh pendakwa dalam menyemak kertas siasatan boleh
menimbulkan masalah di peringkat pendakwaan dan yang lebih malang lagi sehingga
tertuduh dilepaskan oleh mahkamah.
Dalam meneliti kertas siasatan
sekiranya terdapat catatan atau dokumen-dokumen yang meragukan atau ada apa-apa
pernyataan saksi yang berkemungkinan boleh dicabar oleh pihak tertuduh,
sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu sebelum pertuduhan difailkan ke
mahkamah.
Untuk mempastikan proses
penyiasatan dan penyediaan dokumen dapat mencapai tahap memuaskan sebelum
difailkan pertuduhan di mahkamah adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwa
semasa menyemak kertas siasatan. Sekiranya terdapat apa-apa kekurangan yang
berlaku, sepatutnya pendakwa yang bertanggungjawab boleh terus berurusan atau
memanggil pegawai penyiasat berkenaan untuk berbincang.
Pertimbangan Dalam Menyemak Kertas
Siasatan
Pegawai pendakwa yang menyemak
kertas siasatan khususnya dalam kes ingkar perintah mahkamah hendaklah
mempastikan perkara-perkara berikut disediakan oleh pihak penguatkuasa agama
dan pegawai penyiasat mengikut kehendak peruntukan undang-undang :
(1) Senarai semak keterangan yang
dikehendaki;
(2) Borang maklumat yang diisi
dengan betul mengikut prosedur undang-undang;
(3) Perintah atau salinan perintah
yang dikeluarkan oleh mahkamah;
(4) Laporan tangkapan;
(5) Laporan berhubung Jaminan;
(6) Pernyataan saksi-saksi yang
berkaitan;
(7) Pernyataan Orang Yang Disyakki
jika berkaitan;
(8) Diari siasatan pegawai
penyiasat;
(9) Senarai barang-barang kes jika
ada;
(10) Rajah, pelan lakar jika
berkaitan;
(11) Apa-apa dokumen berkaitan yang
boleh menyokong (Eksibit);
(12) Pastikan siasatan diselesaikan
dalam tempoh yang munasabah.
Setelah menilai
keterangan-keterangan yang ada, pihak pendakwa perlu memberi pertimbangan
kepada perkara-perkara berikut sebelum membuat keputusan antaranya:
i) Adakah terdapat alasan-alasan di
mana keterangan tersebut akan ditolak atau diketepikan berdasarkan kepada
prinsip-prinsip kebolehterimaan mengikut Enakmen keterangan Mahkamah Syariah;
ii) Adakah saksi-saksi yang ada
boleh dipercayai, pelupa atau seorang yang bermusuhan dengan tertuduh;
iii) Adakah saksi mempunyai motif
yang tidak baik dalam memberi keterangan dan menyebabkan peluang yang besar
kepada pihak peguambela untuk mencabar;
iv) Bagaimana keadaan saksi dari
segi ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi soalan balas dari
peguambela, pastikan juga kredibilitinya tidak akan terjejas;
v) Adakah terdapat percanggahan
keterangan antara saksi-saksi dan adakah percanggahan tersebut boleh melemahkan
kes itu atau menimbulkan syak bahawa keterangan tersebut tidak benar;
vi) Sekiranya isu identiti
terlibat, adakah terdapat saksi-saksi yang boleh mengecam tertuduh;
vii) Sekiranya terdapat lebih dari
seorang tertuduh, adakah terdapat prospek yang munasabah samada untuk mendakwa
mereka secara berasingan atau bersama.
b) Kepentingan Awam
Selepas seseorang pendakwa Syarie
berpuashati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk mewajarkan
pendakwaan, dia hendaklah seterusnya memberi pertimbangan samada berdasarkan
kepada fakta kes yang boleh dibuktikan dan selepas melihat seluruh keadaan yang
wujud di dalam kes tersebut dan juga kepentingan awam yang memerlukan kes
tersebut di bawa ke muka pengadilan.
Dalam membuat pertimbangan
berkaitan kepentingan awam bagi kes ingkar perintah atau penghinaan mahkamah
ini perlu juga dilihat kepada keadaan yang berlaku di dalam mesyarakat
seluruhnya. Sebagai contohnya seperti perlanggaran perintah berkaitan dengan
hak penjagaan anak (hadhanah), perintah nafkah, perintah tegahan (interim) dan
sebagainya. Selain daripada itu pegawai pendakwa dan pegawai penguatkuasa perlu
peka kepada kritikan-kritikan oleh pihak tertentu yang sering mencemuh tentang
penguatkuasaan kes-kes syariah terutama dalam usaha untuk menguatkuasakan
perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Untuk menyelesaikan masalah ini,
setiap pihak adalah disarankan supaya menjalankan tugas masing-masing dengan
jujur, cekap dan berkesan termasuklah JAKIM, JKSM, Jabatan Agama Islam Negeri
dan Mahkamah.
Andaikata persoalan berkaitan dengan
kepentingan awam tidak dapat ditangani dengan sempurna sebelum sesuatu
pendakwaan dijalankan atau sebaliknya nescaya pelbagai cemuhan akan dibuat oleh
masyarakat yang akan menjejaskan imej institusi agama Islam keseluruhannya.
Objektif Pendakwaan Penghinaan
Mahkamah
Objektif pendakwaan adalah untuk
membuktikan tertuduh telah melakukan kesalahan seperti yang dikemukakan dalam
pertuduhan. Selain dari itu, tugas pendakwa dan juga peguambela ialah membantu
hakim supaya beliau dapat membuat keputusan yang adil. Dalam hal ini kedua-dua
pihak dipanggil sebagai pegawai mahkamah dalam sesuatu perbicaraan berkaitan.
Dari itu, tugas pendakwa adalah bermula dari seawal proses sesuatu kes itu
bermula dan mempastikan segala prosedur diikuti bermula dari proses penerimaan
maklumat, penangkapan, penyiasatan sehinggalah kepada penyediaan kertas
siasatan. Sebagai contoh seperti;
(a) Kes boleh tangkap atau kes tak
boleh tangkap.
(b) Hak-hak tertuduh semasa dalam
jagaan pihak penguatkuasa.
(c) Prosedur pelepasan jika
siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.
Sekiranya perkara-perkara teknikal
seperti ini tidak diberi perhatian ianya boleh menyebabkan tertuduh dilepaskan
dan dibebaskan oleh mahkamah walaupun elemen-elemen lain tentang kesalahan
tersebut dapat dibuktikan.
Pertuduhan Kesalahan Penghinaan
Mahkamah
Apabila keputusan telah dibuat
untuk meneruskan dakwaan terhadap seseorang di atas pertuduhan berkaitan
kesalahan ingkar perintah atau penghinaan Mahkamah, pihak pendakwa hendaklah
menyediakan suatu pertuduhan untuk difailkan kepada mahkamah yang
berbidangkuasa. Prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi ialah tiap-tiap pertuduhan
hendaklah jelas dan terang serta mengandungi semua butir-butir yang terkandung
di dalam seksyen yang berkenaan.
Tujuan pertuduhan dibuat adalah untuk
menunjukkan kepada tertuduh dengan tepat dan terperinci kes terhadapnya dan
tidak boleh mengelirukan tertuduh. Oleh itu, tiap-tiap pertuduhan perlu
menyatakan tarikh, masa dan tempat kejadian, termasuklah alamat yang lengkap
serta bahan-bahan yang perlu dinyatakan seperti niat dan perbuatan serta
seksyen dan enakmen berkaitan. Tujuan pertuduhan yang lengkap adalah untuk
memberi faham kepada hakim tentang kedudukan kes itu dan jika berlaku kecacatan
sesuatu pertuduhan itu boleh dibuat pindaan pada bila-bila masa sehingga
sebelum menutup kes pendakwa.
Contoh pertuduhan yang difailkan di
Mahkamah Syariah bagi kes ingkar perintah mahkamah yang dikategorikan sebagai
penghinaan Mahkamah ialah:
“Bahawa kamu pada 23.1.98 lebih
kurang jam 8.00 malam di hadapan rumah no. 33, Jalan Lili 4, Taman Lili, Nilai
Impian, Negeri Sembilan telah mengoyak-ngoyak dan mencampakkan ke dalam
longkang Perintah Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan Kes Mal No
05100-000-000 Tahun 2007.
Dengan itu kamu dituduh melakukan
kesalahan di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri
Sembilan) 2003 iaitu mempersenda atau menyebabkan dipandang hina Perintah
Mahkamah yang boleh dihukum di bawah Seksyen dan Enakmen yang sama di atas”.
Persediaan Perbicaraan
Setelah pertuduhan difailkan di
mahkamah dan tarikh sebutan (tarikh jaminan untuk hadir di mahkamah) telah
ditetapkan, pihak pendakwa perlu membuat persediaan yang secukupnya dan berada
dalam keadaan selesa dan bersedia untuk membuat pendakwaan dengan penuh yakin.
Selain daripada persediaan dari segi mental, kelengkapan fizikal perlu juga
disediakan seperti, fail kes yang lengkap, Enakmen yang berkaitan, alat tulis
dan keperluan-keperluan lain yang difikirkan perlu.
Apa yang lebih penting sebelum
hadir di mahkamah, seseorang pendakwa Syarie itu perlu membaca, menyemak dan
memahami kedudukan kes yang hendak disebut di mahkamah. Dalam keadaan ini,
pendakwa Syarie perlu membuat persediaan jika tertuduh mengaku salah.
Antara persediaan yang perlu jika
tertuduh mengaku salah ialah :
i- Penyediaan fakta kes secara
bertulis dan satu salinan kepada mahkamah dan tertuduh. Sebelum menyediakan
fakta kes ini, pastikan ianya dibuat dengan teliti untuk mengelakkan kekeliruan
kepada tertuduh dan boleh memberi kesan terhadap pengakuan salah.
ii- Persediaan untuk berhujjah
selepas tertuduh membuat rayuan. Dalam menyediakan hujjah ini antara faktor
pemberatan hukuman yang perlu diambilkira adalah seperti berikut:
a) Kesalahan melibatkan kepentingan
awam.
b) Kesalahan yang dilakukan adalah
berat.
c) Kekerapan kesalahan yang
dilakukan (berulang).
d) Keseriusan kes tersebut.
e) Kesan terhadap agama,
ketenteraman awam dan moral terhadap masyarakat serta imej pihak berkuasa agama
dan pentadbiran undang-undang Syariah.
Perbicaraan
Dalam perbicaraan penuh,
tanggungjawab utama pendakwa ialah memanggil semua saksi-saksi yang telah
memberi keterangan dan disenaraikan di mahkamah untuk memberi keterangan dengan
pemeriksaan utama oleh pendakwa dan disoal balas oleh peguambela dan juga
mahkamah, jika perlu. Tujuan pendakwa menyoal saksinya adalah bagi mendapat
keterangan untuk membuktikan dakwaan terhadap tertuduh.
Selain dari itu, pendakwa bersama
dengan peguambela juga bertindak sebagai pegawai mahkamah (officer of court)
yang membantu hakim untuk memudah serta melicinkan perjalanan perbicaraan tanpa
menimbulkan isu-isu yang tidak releven atau yang mengelirukan. Mereka perlu
membantu hakim untuk memelihara imej mahkamah dan tidak menimbulkan suasana
tegang dalam seluruh perbicaraan.
Soalan-soalan yang diajukan kepada
saksi perlu dibuat dengan tenang dan terang. Hendaklah bersabar jika mana-mana
saksi tidak dapat atau teragak-agak memberi keterangan kerana mungkin itulah
pertama kali berada di kandang saksi dan sudah tentu berasa takut dan bukannya
tidak mahu bekerjasama dengan pendakwa. Mungkin juga saksi itu terlupa apa yang
ia telah nyatakan dalam keterangan beberapa lama dahulu. Jika perlu, pendakwa
boleh memohon dari hakim supaya saksi merujuk kepada keterangannya. Sekiranya
didapati saksi sengaja tidak mahu memberi kerjasama, pendakwa boleh memohon
dari hakim untuk mencabar kredibilitnya. Proses ini jarang berlaku dan akan
mengambil masa dengan prosedurnya (impeachment proceeding).
Saksi-saksi yang tidak dipanggil
memberi keterangan, akan diserahkan kepada mahkamah selepas pendakwa menutup
kes pendakwaan. Tujuannya supaya tertuduh boleh memanggilnya sebagai saksi.
Jika tidak, barulah mereka dibenar pulang. Menurut keputusan kahakiman yang
berasaskan kepada undang-undang keterangan, kegagalan pendakwa memanggil saksi
memberi keterangan atau bertindak seperti di atas tanpa alasan akan menimbulkan
anggapan bahawa saksi itu akan memberi keterangan yang bertentangan dengan kes
pendakwa.
Peranan peguambela dalam soal balas
saksi-saksi pihak pendakwa ialah mengajukan soalan-soalan yang terang dan tidak
mengelirukan serta mengelak dari soalan yang menyakitkan hati atau menyentuh
maruah saksi tersebut. Tujuan utamanya adalah untuk membuktikan bahawa saksi
tidak bercakap benar. Kedua-dua pihak perlu patuh kepada arahan hakim yang
menentukan soalan yang releven atau sebaliknya dan keterangan yang boleh
diterima (admissible) atau tidak. Arahan hakim yang dipertikaikan dalam proses
itu boleh dibawa ke Mahkamah Tinggi kemudiannya sekiranya ada rayuan.
Beban Bukti
Di dalam perbicaraan penuh,
kewajipan pendakwa ialah membuktikan tertuduh telah melakukan kesalahan seperti
di dalam pertuduhan. Tertuduh dianggap tidak bersalah sehinggalah ia dibuktikan
bersalah. Dengan ini beban bukti di pihak pendakwaan adalah berat dan
tanggungjawab tertuduh atau peguambela menjadi lebih ringan.
Kewajipan pihak pendakwa ialah
membentangkan keterangan-keterangan yang membuktikan “melampaui keraguan yang
munasabah” (beyond reasonable doubt) pada keseluruhannya. Mahkamah akan menilai
dan menimbangkan beban bukti ini di dua peringkat perbicaraan iaitu peringkat
pertama pada penutup kes pendakwa, mahkamah akan menimbangkan samada pendakwa
telah membuktikan “prima facie“ terhadap tertuduh. Jika mahkamah berpuashati
tertuduh akan diperintah membuat pembelaan diri. Jika pendakwa gagal, mahkamah
akan bebaskan tertuduh.
Peringkat kedua, selepas tertuduh
membela dirinya dan selepas penutupan kes, mahkamah akan menimbang semula
pendakwa telah membuktikan kesalahan tertuduh melebihi batas keraguan yang
munasabah (beyond reasonable doubt). Jika didapati demikian, tertuduh akan
disabit kesalahan dan akan dihukum. Tanggungjawab tertuduh hanyalah untuk
menimbulkan keraguan yang munasabah (raise a reasonable doubt) ke atas kes
pendakwa. Jika keadaan seperti ini berlaku, mahkamah akan melepaskan dan
membebaskan tertuduh.
Tindakan Selepas Mahkamah
Memberikan Penghakiman
Jika tertuduh dijatuhkan hukuman
samada didenda atau dipenjarakan, pihak pendakwa dan pegawai penguatkuasa
hendaklah mempastikan tertuduh selesai melaksanakannya. Tugas untuk menghantar
tertuduh ke penjara adalah menjadi tanggungjawab pegawai penguatkuasa agama
sekiranya tidak ada bantuan daripada Polis Mahkamah.
Sekiranya tertuduh dibebaskan,
pendakwa yang bertanggungjawab hendaklah merujuk kepada ketua pendakwa Syarie
untuk mendapatkan arahan selanjutnya. Ketua pendakwa Syarie hendaklah
menggunakan pertimbangan yang wajar dalam membuat keputusan untuk menentukan
samada sesuatu keputusan/hukuman itu perlu dirayu atau sebaliknya.
(I) Jika kes dibuang tanpa
memanggil tertuduh untuk membela diri (diperingkat prima facie kes) sewajarnya
kes tersebut dibuat rayuan.
(II) Jika kes dibuang selepas
tertuduh dipanggil membela diri, rayuan tidak wajar dibuat kecuali wujud
kekhilafan undang-undang yang nyata.
TATACARA PENGHINAAN MAHKAMAH OLEH
PIHAK YANG BERKEPENTINGAN
Jika permohonan penghinaan mahkamah
itu difailkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan, pemohon hendaklah
memfailkan satu notis tunjuk sebab bagi kesalahan penghinaan yang dikatakan
dilakukan itu dan dialamatkan kepada orang tersebut. Notis tunjuk sebab
tersebut hendaklah difailkan ke Mahkamah dan Mahkamah hendaklah mendaftar dan
membicarakan permohonan tersebut mengikut undang-undang yang diperuntukkan.
Notis supaya menunjukkan sebab
mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah
disampaikan ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu. Orang itu
hendaklah diberi peluang untuk membela diri termasuklah mendapatkan khidmat
guaman dan memanggil saksi-saksi bagi pihaknya. Prosiding itu mesti dicatat
oleh hakim dan boleh didengar oleh hakim yang sama (yang mengeluarkan perintah
yang diingkari itu). Seksyen 229 (3) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:
(3) Dalam hal penghinaan yang
dilakukan di luar Mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan
atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri
orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu.
Jika orang itu gagal menunjukkan
sebab, atau gagal memuaskan Mahkamah, maka dia boleh dikomit ke penjara selama
tidak lebih dari 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000. Peruntukan mengenai
hukuman ini ada dinyatakan di bawah seksyen 229 (1) Enakmen yang sama yang
memperuntukkan:
(1) Mahkamah mempunyai bidang kuasa
untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan
boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama
tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua
ribu ringgit.
Bagaimanapun, sebelum tindakan
mengkomitkan seseorang yang melakukan kesalahan penghinaan mahkamah itu
diputuskan oleh Mahkamah, Mahkamah hendaklah berpuashati bahawa orang yang
menghina mahkamah itu harus dikomitkan ke penjara. Perintah pengkomitan ke
penjara hendaklah ditetapkan bahawa pesalah itu hendaklah dipenjarakan sehingga
pesalah itu membersihkan diri dari kesalahan penghinaan mahkamah itu dengan
meminta maaf tanpa syarat kepada Mahkamah dan orang lain yang ada kepentingan
dan juga mematuhi perintah Mahkamah yang diingkari atau memberhentikan
perbuatan lain yang menghina Mahkamah dan sekiranya pesalah gagal berbuat
demikian, pesalah akan dipenjara sehingga tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah
yang tidak melebihi had maksima penjara bagi kesalahan menghina mahkamah .
Tiada apa-apa permohonan atau
tuntutan dari orang yang dituduh menghina mahkamah itu boleh didengar oleh
Mahkamah selagi perintah penghakiman terdahulu belum dipatuhi dengan sepenuhnya
.
Setakat ini tidak ada satu tatacara
khusus untuk mengendalikan prosedur penghinaan mahkamah melalui notis tunjuk
sebab yang difailkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Di dalam kes
Roslaili bt Abdul Ghani lwn Ahmad Azman bin Yaacob , Mahkamah Tinggi Syariah
Shah Alam Selangor telah memberikan panduan mengenai tatacara penghinaan
mahkamah. Menurut YA HMTS Shah Alam sewaktu membacakan penghakiman kes
tersebut;
Mahkamah ini berpendapat
prosedur-prosedur yang sedia ada diamalkan di mana-mana Mahkamah boleh
dijadikan panduan”
Antara panduan yang diberikan dari
kes tersebut ialah;
1. Pihak Pemohon perlu membuat
permohonan pada mahkamah untuk Mahkamah mengeluarkan Notis Tunjuk sebab. Notis
permohonan tersebut yang ditandatangani Plaintif atau peguamnya hendaklah
disokong ole affidavit. Permohonan tersebut boleh dibuat secara ex parte.
Tujuan ex parte adalah untuk menegah defendan melupuskan apa-apa ‘subject
matter’ atau membuat apa-apa helah dengan permohonan tersebut;
2. Mahkamah perlu meneliti Notis
tersebut dan juga affidavit yang digunakan. Sekiranya Mahkamah berpuashati yang
Notis Tunjuk Sebab tersebut adalah munasabah dan pelanggarannya adalah menghina
mahkamah, Mahkamah boleh perintahkan satu Notis Tunjuk Sebab disempurnakan ke
atas pihak Defendan;
3. Oleh kerana tidak ada satu
borang Notis Tunjuk Sebab dimuatkan dalam Enakmen Prosedur Mal Mahkamah
Syariah, pihak Perndaftar boleh membuat satu pekeliling berkenaan dengan
perkara tersebut;
4. Notis tunjuk sebab diserahkan
secara kediri kepada Defendan bersama dengan Afidavit yang digunakan dalam
permohonan untuk dikeluarkan Notis tersebut;
5. Sekiranya defendan tidak hadir
pada tarikh yang ditetapkan, waran tangkap boleh dikeluarkan;
6. Pada tarikh yang ditetapkan,
defendan akan diperiksa oleh Mahkamah secara lisan atau dibenarkan dengan
Afidavit terhadap dokumen menghina Mahkamah tersebut;
7. Sekiranya tunjuk sebab diterima
dan diputuskan oleh Mahkamah sebagai tidak menghina Mahkamah, Defendan
dilepaskan;
8. Sekiranya Mahkamah tidak
menerima tunjuk sebab berkenaan, Mahkamah perlu membuat hukuman di bawah
seksyen 229 dan Perintah Pengkomitan dikeluarkansekiranya hukuman penjara
dikenakan;
9. Sekiranya pengkomitan berkenaan
penghutang penghakiman dan Defendan telah dipenjarakan, Penghutang boleh
dilepaskan jika penunaian hutang telah dibuat.
Dalam kes ini, pemohon, iaitu
Roslaili telah mendakwa Responden telah gagal mematuhi perintah yang
dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor terutamanya mengenai hak
lawatan anak. Pemohon telah mengemukakan satu notis tunjuk sebab beserta
affidavit dan setelah meneliti affidavit Responden serta memeriksa Responden,
Mahkamah mendapati Responden tidak terjumlah sebagai melanggar perintah
mahkamah dan permohonan mengkomitkan Responden kerana menghina mahkamah adalah
ditolak atas alasan perintah asal tidak menetapkan secara jelas mengenai hal
lawatan anak dan tidak ada pula perintah lain dikeluarkan oleh mana-mana
mahkamah mengenai alamat atau tempat mengambil anak tersebut.
Dalam memutuskan sesuatu
pelanggaran perintah itu terjumlah di dalam kesalahan penghinaan mahkamah atau
tidak, pendekatan yang diambil hendaklah secara berhati-hati dan berhemah.
Kesalahan penghinaan mahkamah adalah tidak sama sepertimana kes jenayah yang
lain walaupun pendekatannya adalah hampir sama. Bagi penghinaan mahkamah akibat
pelanggaran perintah, isu yang perlu ditimbulkan adakah pelanggaran kepada
perintah tersebut berlaku?, jika berlaku adakah pelanggaran tersebut suatu
tindakan yang menghina kredebiliti mahkamah?. Jika tidak terdapat unsur-unsur
tersebut, sesuatu pelanggaran terhadap perintah mahkamah tidaklah terjumlah
sebagai suatu penghinaan mahkamah. Di dalam kes Hasnan bin Yusuf lwn Yasmin bt
Mohd Yacob, (2008) JH 25/I, 89, YA HMTS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
menegaskan;
“(1) Sama ada Responden melakukan
pelanggaran terhadap perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 18hb Mei
2004;
(2) Sekiranya perintah dilanggari,
sama ada Mahkamah merasa terhina dengan pelanggaran tersebut dan sama ada
Responden telah berjaya atau berupaya memberi sebab atau alasan yang wajar dan
boleh diterima oleh Mahkamah supaya Responden tidak dikenakan perintah
pengkomitan atas kegagalan Responden mematuhi perintah.”
Di dalam kes ini, Pemohon telah
mengemukakan suatu Notis Tunjuk Sebab supaya Responden dikomitkan kerana
melanggar perintah mahkamah yang dikeluarkan sebelumnya mengenai hak lawatan
dan bermesra dengan anak. Dalam affidavit Pemohon, beliau menjelaskan Responden
telah menghalang Pemohon dari berjumpa dan bermesra dengan anaknya. Setiap kali
Pemohon melawat anaknya, Pemohon hanya dibenarkan bermesra dengan anak melalui
celah gril (besi jeriji) pintu rumah dan tidak dibenarkan bermesra secara
sempurna dengan anaknya. Responden sewaktu memberikan tunjuk sebab beliau telah
bertindak menghalang pemohon dengan mengunci gril dan membiarkan Pemohon
bermesra dengan anaknya dengan dibatasi oleh gril rumah kerana Pemohon pernah
melarikan anak tersebut selama enam bulan sewaktu anak tersebut di dalam jagaan
Responden. Tindakan Pemohon tersebut memaksa Responden memfailkan suatu
perintah sementara dan waran tangkap pernah dikeluarkan kepada Pemohon supaya
hadir dalam prosiding tersebut dan seterusnya menyerahkan anak. Responden juga
beberapa kali membuat laporan polis akibat berlakunya kacau ganggu yang
disyakki didalangi oleh Pemohon. Atas alasan-alasan tersebutlah Responden menghalang
Pemohon dari bermesra dan bersama anak dengan membatasinya diluar rumah dan
gril yang terkunci kerana bimbangkan keselamatan anak tersebut dari dilarikan
kali kedua oleh Pemohon. Mahkamah akhirnya memutuskan pelanggaran perintah
mengenai hak lawatan dan bermesra dengan anak yang dilakukan oleh Responden
adalah munasabah dan perlakuan tersebut tidak terjumlah sebagai penghinaan
Mahkamah. Bagi menyelesaikan kekusutan mengenai hak lawatan tersebut, Mahkamah
telah mengeluarkan suatu perintah baru dengan mengubah hak lawatan yang lebih
adil kepada kedua-dua pihak.
Perintah Hendaklah Diserahkan
Sebelum Tindakan Penghinaan Dibuat
Perlu diingatkan disini, sesuatu
Notis tunjuk sebab untuk mengkomitkan seseorang yang dikatakan menghina
mahkamah kerana tidak mematuhi sesuatu perintah hendaklah disampaikan kepada
responden terlebih dahulu sebelum tindakan penghinaan dibuat. Ini bermakna,
sesuatu perintah asal sebelum dikatakan tidak dipatuhi oleh responden hendaklah
diserahkan dan berada dalam pengetahuan responden. Kegagalan menyerahkan
perintah tersebut menjadi satu pembelaan kepada responden dan boleh mengelakkan
responden dari dikenakan perintah komitan kerana menghina mahkamah. Dalam kes
Azman Abdul Talib lwn Suhaila Ibrahim, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pahang
Darul Makmur memutuskan permohonan pemohon untuk mengkomitkan responden kerana
menghina Mahkamah akibat dari kegagalan Responden untuk mematuhi perintah
sementara hadhanah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelumnya
adalah ditolak, kerana Mahkamah mendapati pemohon telah gagal menyerahkan
perintah hadhanah sementara tersebut kepada responden, melainkan hanya
mengepilkannya didalam affidavit bersama permohonan yang dibuat. Dengan tidak
menyerahkan perintah kepada responden, Pemohon telah gagal mematuhi secara
ketat kaedah yang ditetapkan. Selain itu, penggunaan draf perintah, dan tidak
perintah bersih (termeterai) membawa padah kepada permohonan pemohon.
Penghinaan Oleh Pertubuhan
Perbadanan
Kesalahan penghinaan mahkamah ini
bukan saja boleh dilakukan oleh seseorang atau individu, bahkan ianya boleh
juga dilakukan oleh pertubuhan perbadanan, agensi atau syarikat dan sebagainya.
Jika penghinaan mahkamah itu dilakukan oleh sesuatu pertubuhan perbadanan,
mana-mana orang yang pada masa penghinaan itu dilakukan ialah pengarah,
pengurus atau setiausaha pertubuhan perbadanan itu atau selainnya yang
bertanggungjawab atas pengurusan pertubuhan perbadanan itu adalah juga bersalah
melakukan penghinaan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa—
(a) penghinaan itu telah dilakukan
oleh pertubuhan perbadanan itu tanpa persetujuan atau pembiarannya; atau
(b) dia telah mengambil segala
usaha yang wajar bagi mengelakkan berlakunya penghinaan itu sebagaimana yang
patut diambil olehnya dengan mengambil kira sifat jawatannya atau jenis
tugasnya dalam pertubuhan perbadanan itu dan segala hal keadaan.
Mana-mana orang yang melakukan
apa-apa perbuatan atau mengambil apa-apa prosiding atas nama atau bagi pihak
orang lain dengan mengetahui bahawa dia tidak dibenarkan dengan sahnya oleh
orang itu, juga adalah dikira sebagai melakukan satu kesalahan menghina mahkamah.
*******************
Ini adalah sebahagian dari artikel
yang dipetik dalam buku "Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah,
Prinsip dan Amalan".