'Kalau Pas tak ambil, Umno akan ambil'-Malaysiakini
PAS
perlu mencontohi tadbir urus yang baik seperti yang diamalkan negeri
Pulau Pinang bagi meningkatkan integriti dalam pentadbiran negeri yang
dikuasainya – Kelantan dan Kedah, kata timbalan presiden parti itu,
Mohamad Sabu.
Katanya, pemimpin
berkenaan perlu berbuat demikian memandangkan perubahan yang berlaku di
kedua-dua negeri tersebut masih belum cukup dan lebih buruk lagi, masih
ada lagi golongan dalam PAS yang masih berfikiran seperti pemimpin Umno.
"Bukanlah kalau PAS pergi ke Putrajaya dengan rakan-rakannya hal ini akan selesai. Tadbir urus baik ini masih perlu difahami.
"Bila
kita ceramah, kita tanya 'bila kita memerintah setuju tak kita tangkap
(Datuk Seri) Najib (Razak) bawah ISA?' Orang kata setuju. Itu bermakna
dalam pemikiran untuk balas dendam ini masih tebal.
"Maknanya
bila kita perintah kita ganti Umno. Itu yang kita tak mahu. Sekarang di
Kedah, Kelantan, perubahan berlaku tapi tak cukup," katanya dalam satu
temubual eksklusif dengan Malaysiakini.
Mohamad
menjelaskan, perubahan di negeri Kelantan, misalnya, akan berdepan
masalah apatah lagi sekiranya menteri besarnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat tidak lagi mengetuai pentadbiran negeri berkenaan.
ADUN, exco tak boleh pohon tanah
"Dari
segi tadbir urus, sebab pergantungan Kelantan misalnya pada Tok Guru
(Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) terlalu tinggi," kata Mohamad yang
vokal terhadap pentadbiran PAS sejak parti itu dapat mengembalikan kuasa
di negeri itu pada 1990.
Penceramah popular itu juga menegaskan,
PAS perlu mengubah sikap yang wujud di kalangan wakil rakyatnya bagi
meningkatkan integriti barisan pentadbiran di negeri yang dikuasai.
"Misalnya
anggota exco, ADUN tak boleh pohon tanah kerajaan. (Kalau) mahu mohon,
berhenti, jadi orang berniaga. Selagi jadi ADUN, exco tak boleh memohon
dan sebagainya. Ini yang perlu diubah oleh kerajaan yang dipimpin oleh
PAS.
"Setengah bercakap kalau
PAS tak ambil, Umno ambil. Ertinya (PAS) sama (dengan Umno) – benda
macam ini yang saya akan berdepan, di dalam isu misalnya balak," katanya
lagi yang mengakui bahawa pandangan seperti itulah yang menyebabkan
beliau dilihat sebagai "pro-DAP."
Mohamad
yang bimbang dengan penyelewengan yang wujud dalam parti itu berkata
demikian dengan merujuk kepada dakwaan yang dilemparkan berhubung sumber
balak di negeri berkenaan.
Berebut untuk dapat 'Datuk'
Satu
lagi perkara yang menjengkelkannya ialah minat yang ditunjukkan
pemimpin PAS untuk mendapatkan gelaran daripada istana – sikap yang
dikutuknya sebagai pemujaan kepada sistem kasta dan feudalisme.
"Penyanyi
menyanyi dua tiga lagu dah 'Datuk'. Pelawak (juga dapat). Kalau P
Ramlee itu OK lah bagi Datuk, ini semua, kita baling batu boleh jatuh
kepala Datuk.
"Kalau gelaran
Datuk, semua mencari. Kalau umum 'siapa nak (pangkat) Datuk esok datang
depan istana', saya ingat pemimpin PAS akan berebut pergi depan istana,"
katanya.
Mohamad yang popular
dengan gelaran Mat Sabu itu bagaimanapun berkata, beliau setakat ini
menolak tawaran bagi gelaran berkenaan kerana tidak melihat
keperluannya.
"Saya tolak
buat masa ini. Tak berani cakap besarlah untuk akan datang, tapi buat
masa ini tak nampak (keperluan). Tak perlu," katanya yang telah menolak
tawaran untuk mendapat pingat kebesaran daripada Pulau Pinang sebanyak
dua kali.
Mohamad Sabu ditemubual Aidila Razak, Lee Way Loon dan Salhan K Ahmad.-Malaysiakini