Umno Johor berkata ia akur dengan tindakan Majlis Tertinggi parti itu memecat Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurut Bernama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Umno Johor yakin tindakan itu wajar, dan akur dengannya.
Malam tadi, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz dan penggantungan keahlian Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Kuala Lumpur.
Kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor (Berhubung Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Penggantungan Datuk Seri Shafie Afdhal)
Dalam sesebuah wadah siasah, memutuskan sesuatu keputusan penting akan pasti mengundang perhatian banyak pihak. Ada keputusan diterima dengan baik dan terbuka. Tidak kurang yang mengundang kecaman dan kemarahan. Namun, yang penting, biar semudah atau sesukar mana sekalipun, suatu pendirian yang tegas mesti diputuskan, demi sebuah kelangsungan perjuangan.
Keputusan Majlis Tertinggi UMNO semalam yang memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta menggantung Datuk Seri Shafie Afdhal, adalah satu keputusan yang paling sukar, namun paling penting dan amat perlu untuk dilakukan.
UMNO Johor akur dengan keputusan tersebut berdasarkan empat pertimbangan.
Pertama, UMNO sejak 7 dekad yang lalu telah memilih untuk menampilkan dirinya sebagai gerakan yang berasaskan penyatuan. Mantera UMNO adalah kesepaduan, kebersamaan dan kebulatan tekad dan suara dalam mengangkat kedudukan terbaik orang Melayu. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab parti, untuk terus berpegang, mendukung dan mempertahankan prinsip kebersamaan ini. Mana-mana ahli parti yang gagal menghargai prinsip ini, harus memilih jalan dan wadah berlainan.
Kedua, sekalipun UMNO adalah parti yang amat terbuka dan sentiasa meraikan perbezaan pendapat, disiplin dan santun kepartian punya batasan. Apatah lagi apabila perbezaan pandangan itu berterusan begitu lama sehingga menggangu fokus dan perjuangan parti. UMNO mengiktiraf perbezaan pendapat itu adalah warna-warna yang mencantikkan rona fabrik yang membaluti parti. Namun, jika ia dicorakkan dengan terlalu kasar sehingga meracik dan mengoyakkannya, parti akan pasti hilang wibawanya.
Ketiga, sebarang perbalahan dalaman parti, yang membarah dan memudaratkan, mestilah sebaiknya diselesaikan segera. Jika tidak, parti akan berpecah dan berpuak-puak, serta menjadi lemah. Dan tidak ada mereka yang waras yang akan terus menyokong kita jika parti tidak stabil, tidak kuat dan dilihat sentiasa bercanggah dan berbalah dalam segala hal. Oleh itu, keputusan MKT UMNO ini bermatlamatkan untuk menyatukan kembali parti dan memulakan episod baru dalam meneruskan agenda besarnya. Maka segala unsur dalaman yang tidak konstruktif, mesti segera dilumpuhkan.
Keempat, keputusan MKT ini adalah satu bentuk kata putus yang jelas dan pengiktirafan langsung, kepada mereka yang memilih untuk berjuang dalam UMNO. Agar tiada mereka yang dilihat berpendirian separuh ular separuh belut. Lantang di luar, di dalam bermanis mulut.
Bersandarkan keempat-empat pertimbangan ini, demi hanya untuk membuahkan sebuah kebaikan kepada parti, dan menghormati prinsip kebertanggungjawaban bersama, maka UMNO Johor menerima keputusan Majlis Tertinggi tersebut.
UMNO Johor mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga atas segala jasa dan sumbangan ketiga-tiga ahli UMNO ini, khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan segala sumbangan beliau kepada negeri Johor khususnya.
UMNO dan mereka telah memilih jalan dan haluan masing-masing. Semoga dalam haluan yang berbeza ini, ia tidak menjadi menjadi penamat kepada segala ikhtiar dan perjuangan masing-masing dalam mengangkat kedudukan terbaik untuk orang Melayu.
Semoga keputusan paling sukar namun paling perlu ini, membuahkan hikmah yang akan mengukuhkan dan membawa manfaat dan kebaikan jua kepada UMNO secara keseluruhannya.
Terima kasih