Bahasa
AG tegaskan tiada campurtangan politik kendali kes Khir Toyo
Oleh Mohd Farhan Darwis
June 01, 2013
Tan Sri Abdul Ghani menegaskan bahawa pertuduhan terhadap Khir Toyo adalah berdasarkan fakta kukuh. KUALA
LUMPUR, 1 Jun — Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menegaskan
tiada campurtangan politik terhadap pendakwaan yang dikenakan kepada Dr
Mohamed Khir Toyo dalam kes rasuahnya, sebaliknya mengingatkan bekas
Menteri Besar Selangor itu kenyataan yang dikeluarkan di blognya
menghampiri menghina mahkamah.
Abdul Gani juga turut menegaskan pertuduhan terhadap Khir Toyo adalah
berdasarkan kepada keterangan yang kukuh dan bukan atas faktor politik
atau menjadikan Khir Toyo sebagai ‘kambing hitam’.
“Khir Toyo telah diwakili oleh barisan peguam yang ternama dan
berpengalaman, malahan kes ini telah sampai ke peringkat Mahkamah
Rayuan, yang telah didengar oleh tiga hakim kanan yang bijaksana.
“Seharusnya Khir Toyo berhati-hati dan bijak dalam membuat sesuatu
andaian, apatah lagi andaian yang tidak berasas. Tambahan pula kes ini
telah dibicarakan dengan sepenuhnya dan telah diputuskan berdasarkan
prinsip undang-undang dan sistem keadilan jenayah Malaysia,” tegas
peguam berkenaan dalam kenyataan 10 halaman lewat petang tadi.
Dr Mohamad Khir dalam tulisan di laman blognya mendakwa dirinya
menjadi mangsa “kambing hitam” dimanipulasi untuk kepentingan politik
pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Mahkamah Rayuan juga sebelum ini menolak rayuan beliau dan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan berhubung kes rasuahnya.
“Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk
memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri
Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah,” kata beliau
dalam tulisan di blognya www.drkhir.com.
Abdul Gani sebaliknya menegaskan, tiada sebarang bentuk campur tangan
politik ke atas dirinya semasa mengendali kes berkenaan, sebaliknya,
keputusan dibuat berdasarkan hasil siasatan Suruhanjaya Pencehan Rasuah
Malaysia (SPRM).
“Saya membuat keputusan untuk mendakwa kes ini berdasarkan kepada
keterangan yang diperoleh dari hasil siasatan yang telah dijalankan oleh
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan bersandarkan kepada
peruntukan undang-undang yang sedia ada, sama ada untuk menuduh Khir
Toyo atau sebaliknya,” tegas Gani.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak pernah
campur tangan dalam soal mengenakan pertuduhan terhadap sesiapa pun.
Tidak pernah ada campur tangan politik dan tidak akan dibiarkan campur
tangan politik dalam perkara-perkara yang melibatkan Jabatan Peguam
Negara.”

Dr Mohamad Khir (
gambar)
dalam laman blognya juga mengatakan, beliau didakwa melakukan Criminal
Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya
kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Sepanjang perbicaraan, keterangan pegawai PKNS jelas menunjukkan
saya menyokong puluhan surat cadangan memajukan tanah PKNS secara
usahasama. Ada sokongan saya yang diluluskan dan yang ditolak oleh
jawatan kuasa teknikal.
“Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau
pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah
Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun SPRM dengan bangganya
menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti
kerajaan serius membanteras rasuah,” katanya.
Peguam negara itu bagaimanapun menegaskan, dakwaan Dr Mohamad Khir
bahawa kes “di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan merupakan satu
kesalahan berjadual (prescribed offence) di bawah Akta Pencegahan Rasuah
1997 (pada ketika kesalahan dilakukan), berhubung kesalahan yang
dilakukan oleh seorang pegawai atau kakitangan kerajaan yang menerima
atau memperolehi sesuatu daripada seseorang yang beliau mengetahui
mempunyai urusan rasmi dengan beliau tanpa balasan yang mencukupi.”
“Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah dikategorikan sebagai kesalahan
rasuah juga kerana ia berhubung penyalahgunaaan kedudukan secara tidak
langsung terhadap individu berkenaan,” tegas Abdul Gani.
“Hukuman maksimum bagi kesalahan ini adalah dua tahun penjara atau
denda atau kedua-duanya sekala. Ia berbeza dengan kesalahan rasuah yang
nyata yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.”
Malah beliau juga turut menasihati Dr Mohamad Khir supaya menyediakan pembelaan beliau di peringkat rayuan Mahkamah Persekutuan.
Dr Mohamad Khir didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada
23 Disember, 2011 kerana dikatakan membeli dua bidang tanah dan rumah
banglo di Seksyen 7, Shah Alam lebih murah dari harga sebenar di
pasaran.
Beliau didapati bersalah menggunakan pengaruhnya sebagai menteri
besar untuk membeli kediaman mewah dan tanah sehingga potongan sebanyak
RM3 juta lapan tahun lalu.