# Keperluan politik semasa, apakah anwar berpotensi dibebaskan @ diberi pengampunan (?)
(Oleh Fiza Abd Halim)
KUALA LUMPUR 19 OGOS: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kesal terhadap halangan yang dikenakan ke atas keluarganya oleh pihak Kementerian Dalam Negeri dan pihak penjara untuk mereka bertemu dengan saudara Anwar Ibrahim.
Dengan nada kecewa, Presiden KEADILAN itu berkata, keluarganya perlu diberi akses untuk berjumpa dengan Anwar di penjara, lebih-lebih lagi tahap kesihatan suaminya itu membimbangkan.
“Memandangkan kini tahap kesihatan Anwar merosot, sebelum ini sakit bahu kiri, sekarang bahu kanan, hari ini pula dia cakap sakit leher.
“Saya harap beliau diberikan rawatan sepenuhnya, apa-apa pun teruskan berdoa,” kata Wan Azizah ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta.
Anwar dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat bagi mengikuti kes saman beliau terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau turut menyampaikan pesanan lisan meminta Menteri Dalam Negeri supaya tidak mengetatkan urusan pertemuan beliau dengan keluarga serta peguam.
Anwar juga merayu supaya kerajaan tidak mendera keluarganya apabila sukar bertemu dengannya, walaupun beliau ‘tiada masalah’ jika ia diperlakukan ke atas dirinya.
“Saya minta pertimbangan Datuk Seri Zahid Hamidi berkaitan urusan keluarga dan peguam. Semuanya terlalu ketat. Nak dera Anwar, faham. Saya faham. Itu saya tak ada masalah.
“Saya minta Datuk Seri Zahid timbang. Timbang keluarga dan kerja urusan peguam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan KEADILAN.
Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mendesak Anwar diberikan rawatan segera secara konsisten ekoran tahap kesihatan bapanya yang merosot dan mengalami kesakitan berterusan di bahu kanan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67482







