Thursday, October 6, 2016

ADUN JORAK SETIAUSAHA BERSATU

*Tahniah YB Datuk Dr Shahrudin atas perlantikan sebagai Setiusaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia*

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

PELANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (PPBM)

Saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan pelantikan pegawai-pegawai kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) iaitu YB Datuk Dr Shahruddin bin Md Salleh sebagai Setiausaha Agung, YBhg. Dato’ Mohamed Salleh Bajuri sebagai Bendahari Agung dan YBhg Datuk Hj Kamarudin bin Md Nor sebagai Ketua Penerangan.

Pelantikan-pelantikan ini dibuat selaras dengan peruntukan Fasal 13.7 perlembagaan parti.

Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kejuruteraan awam, Universiti Bradford, United Kingdom. Beliau berpengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran. Beliau merupakan mantan Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan (1998-1999), Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1999-2004), Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004-2008) dan Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2008-2009). Beliau juga merupakan mantan Naib Ketua UMNO Bahagian Pagoh dan kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Johor. Sebelum menceburi bidang politik, beliau adalah pensyarah di fakulti kejuruteraan awam UiTM Shah Alam dan pernah menjawat jawatan sebagai Rektor UiTM Johor di Segamat.

Dato’ Mohamed Salleh Bajuri merupakan lulusan Institute of Chartered Accountant, Ireland. Beliau adalah seorang akauntan bertauliah. Beliau bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dengan memegang beberapa jawatan dalam pertubuhan kebajikan. Antaranya Bendahari Persatuan Bekas Murid Sekolah Dato’ Abdul Razak (1980-2002), Pemegang Amanah Tabung Anak-Anak Melayu Pontian (1995-2011) dan Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan SDARA (1997-2002).

Datuk Kamarudin Md Nor adalah lulusan Ijazah Sarjanamuda Sastera Universiti Malaya. Beliau berpengalaman luas dalam bidang politik dan kemasyarakatan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Beliau adalah mantan Exco Majlis Belia Malaysia (1971-1973), Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (1973-1985), wakil Himpunan Belia Islam Dunia (WAMY) bagi Asia Pasifik (1982-1992), Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pasir Puteh (1986-1987), Setiausaha UMNO Bahagian Pasir Puteh (1988-1993), Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Kelantan (1993-2008) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Kelantan (1997-1999; 2004-2008). Sejak tahun 1990 hingga kini, beliau adalah ahli yang mewakili Asia Tenggara dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Antarabangsa (IICO) yang berpangkalan di Kuwait.

Semua penjawat jawatan di atas memegang jawatan selama tempoh Majlis Pimpinan Tertinggi selaras dengan peruntukan Fasal 13.7 perlembagaan parti.

Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang telah dilantik untuk mengisi jawatan-jawatan kanan dalam PPBM dan berdoa semoga para penjawat parti yang baru dilantik ini akan dapat menyumbang tenaga dan fikiran dalam memastikan kelicinan perjalanan pengurusan dan pentadbiran parti.


TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

6 Oktober 2016


No comments:

Post a Comment

SATUS QM TERKINI

  Sejak Disember 2023 agak kecoh di medsos dan berlarutan hingga sekarang. Masing masing yang peka berkenaan perkembangan QM mungkin tidak p...