Saturday, April 21, 2012

Ramalan Tun Daim tidak tepat - Johor pun sudah tak selamat..

DAP mencaturkan Johor sebagai negeri barisan depan (frontline state) yang strategik dalam perancangan Pakatan untuk menawan Putrajaya.
MCA baru-baru ini telah memberi responsnya kepada desas-desus yang mengatakan Lim Kit Siang akan bertanding di Johor dalam pilihanraya umum akan datang.
Khabar ini sebenarnya tidak menghairankan umum kerana Kit Siang, yang kini berumur 71 tahun, umpama seekor belalang dalam kerjaya politiknya — melompat dari satu kawasan ke satu kawasan ke satu kawasan.

Rekod servis Kit Siang

Pada PRU 1969, Kit Siang menang kerusi Parlimen di Bandar Melaka.
Ekoran itu, beliau menang kerusi Parlimen di
1974: Kota Melaka
1978: Petaling Jaya
1982: Kota Melaka
1986: Tanjong
1990: Tanjong
1995: Tanjong
1999: Kalah di Bukit Bendera*
2004: Ipoh Timur
2008: Ipoh Timur
* Salah satu sebab Kit Siang kalah dalam 1999 kerana pemilih Cina takutkan Negara Islam serta mencurigai kerjasama DAP dengan PAS dalam Barisan Alternatif

Pasukan gerak khas DAP

Tan Chin Meng, setiausaha MCA Perak, mengulas sebuah berita diterbitkan Sin Chew beberapa hari lepas yang melaporkan bahawa selain Kit Siang, ahli-ahli parlimen wanita parti itu – Fong Po Kuan (Batu Gajah) dan Teo Nie Ching (Serdang) – turut memutuskan untuk bertanding di Johor.
Suami Po Kuan adalah setiausaha DAP Johor manakala Nie Ching bukan sahaja berasal dari Batu Pahat tetapi suaminya juga seorang doktor hospital yang bertugas di bandar tersebut.
Tan Chin Meng berpendapat langkah DAP memindahkan wakil-wakilnya merentas negeri menunjukkan sikap angkuh DAP yang  tidak menitik beratkan faktor wakil tempatan dan kesinambungan dalam perkhidmatan.
Lim Mun Fah, pengarang eksekutif Sin Chew dalam komentarnya berkata antara satu perkembangan masa kini yang memihak kepada DAP di Johor ialah sentimen politik di negara jiran.
Dalam pilihanraya kali ini di Singapura, parti pemerintah PAP tidak memperolehi kemenangan yang meyakinkan berbanding dengan lumrah sapu bersihnya dulu.
Mun Fah merumuskan bahawa sentimen Cina Johor tidak boleh lari daripada pengaruh aliran semenanjung. Perubahan dalam cita rasa kaum Cina, ulasnya, mewujudkan keadaan di mana penyandang jawatan (incumbents, iaitu MCA) tidak harus terlalu selesa duduk.
Baca juga analisa Harakah Daily bertajuk, ‘BN resah pemimpin utama Pakatan tanding di Johor‘ mengesahkan keputusan naib presiden PAS Salahuddin Ayub untuk bertanding di Johor.

Taktik perang masuk akal 

Perhitungan DAP untuk mempertaruhkan Kit Siang, Po Kuan dan Nie Ching memang munasabah.
Ketiga-tiganya telah menang besar pada PRU12: Kit Siang meraih 37,364 undi dan mendapat majoriti 21,942; Po Kuan 39,922 undi / majoriti 24,627 dan Nie Ching 47,444 / 21,025.
Majoriti masing-masing dalam lingkungan dua puluh ribu lebih undi menandakan kawasan yang bakal ditinggalkan mereka itu – Ipoh Barat, Batu Gajah dan Serdang – adalah pro-DAP pada tahap amat selamat.
Lantaran itu, barang sesiapapun yang dicalonkan sebagai pengganti kepada wakil bertiga itu bagi PRU13 tentu terjamin nasib mereka.
Asakan DAP ke atas Johor adalah serangan yang logik untuk sekaligus menghancurkan musuh sementara pihak diri kukuh.
[Namun perlu kita ingat, sewaktu MCA kuat, parti itu tidaklah begitu buas atau bongkak sehingga mahu membinasakan DAP tujuh keturunan padang jarak padang tekukur. Ini bezanya MCA dan DAP.)

Merebut undi Cina

MCA sekarang memegang 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri. Separuh kerusi Parlimen MCA (7 kerusi daripada 15) dan satu pertiga kerusi DUN parti tersebut (12 kerusi  / 36) terletak di Johor.

Sejarah persaingan sengit MCA dengan DAP menunjukkan adakala kedua-dua parti tersebut sama-sama kuat dan ada masanya mereka berjongkang-jongkit -- yakni bila MCA gagah, DAP lemah dan sebaliknya.
Pada tahun 1959, kaum Cina adalah 36 peratus jumlah penduduk Malaya manakala kerusi Parlimen yang majoriti pemilih Cina ialah 36.5 peratus. Nisbah ini menampakkan kadar yang seimbang.
Sampai ke tahun 1984 apabila sempadan kawasan pemilih sudah berkali-kali digariskan semula, kerusi Parlimen yang majoriti pemilihnya Melayu mencapai 70 peratus [Sumber: Kertas ISEAS]
Malah ada kerusi bandar (kebanyakan pemilih Cina) yang saiznya tiga kali ganda kerusi luar bandar (kebanyakan pemilih Melayu). Ini melebihi had maksima differential 15 peratus yang dibenarkan, iaitu amalan sengaja memberikan nilai tinggi (weightage) lagi menguntungkan kepada undi pemilih luar bandar.
MCA pernah keras ditolak pemilih Cina dalam piliharaya 1969 di mana ia kalah 20 kerusi dengan hanya mendapat 13.5 peratus undi popular. Lihat jadual atas: MCA-DAP berada pada paras yang sama, masing-masing 13 kerusi.
Contoh DAP mendapat sokongan padu masyarakat Cina dibayangkan kerusi Bangsar dalam PRU tahun 1969 di mana calonnya meraih sejumlah 46,698 undi.
[Fakta menarik: Devan Nair, ahli Parlimen Bangsar atas tiket PAP dalam PRU tahun 1964 telah mendaftarkan (pembentukan) DAP selepas perpisahan Singapura dengan Malaysia dalam 1965. DAP ialah waris kepada PAP.]
Pada tahun 1969, Umno pula telah kalah 17 kerusi Parlimen kepada Parti Islam (PMIP) yang kemudiannya bertukar nama kepada PAS di zaman presidennya Dr Asri Muda.

Resam menang kalah

Pada 1986, DAP berjaya mengatasi MCA buat pertama kalinya dari segi jumlah kerusi. Melalui Projek Tanjong untuk menakluki Pulau Pinang, DAP telah menang 6 kerusi Parlimen – daripada sejumlah 11 kerusi – di negeri tersebut.
Dengan 24 kerusi Parlimen kesemuanya (lihat jadual atas), DAP berjaya mendapat 20.3 peratus undi popular dalam PRU7 ataupun bersamaan dua-pertiga jumlah undi Cina. Sokongan mantap ini ada kaitannya dengan kemelesetan ekonomi yang dialami negara tatkala pertengahan dekad 1980-an.
Dalam PRU tahun 1986 juga, DAP meraih 147,641 undi pemilih peringkat Parlimen di Pulau Pinang berbanding MCA 54,179, Gerakan 62,799 dan Umno 66,746. DAP memaparkan prestasi cemerlang kerana orang Cina Pulau Pinang sering berkecenderongan anti-establishment.
DAP kalah paling teruk dalam tahun 1995 di mana ia keluar meninggalkan Gagasan Rakyat pada Januari – tiga bulan sebelum berlangsungnya PRU – gara-gara masyarakat Cina kurang menyenangi dasar hukum hudud dan dasar-dasar Islamisasi PAS.
Sejak kebelakangan ini, berita hangat kononnya DAP berhasrat meletakkan calon di Kulai dan Labis — kerusi MCA Johor milik mantan presiden parti Ong Ka Ting (yang mungkin tidak akan mempertahankan kerusinya) serta kerusi Chua Tee Yong (anak lelaki Dr Chua Soi Lek).
Lain-lain kerusi yang diidamkan DAP ialah Gelang Patah dan Batu Pahat, tempat lahir Lim Kit Siang.
Kedengaran ura-ura bahawa Kit Siang sendiri akan melangkah ke Johor diiringi Nie Ching, seorang evangelis yang juga timbalan kepada Tony Pua ketua biro penerangan DAP.
Maka timbul persoalan apakah Dr Boo Cheng Hau (pengerusi DAP Johor) dan Norman Fernandez (naib pengerusi DAP Johor) bakal dikesampingkan kerana mereka berdua bukan satu kem serta tidak sebulu dengan Guan Eng?
Apapun gelanggang Johor ialah medan pertarungan di mana DAP has nothing to lose and everything to gain.
 http://helenang.wordpress.com/2012/04/20/dap-melangkah-ke-johor/

No comments:

Post a Comment

6ANGKA