Sunday, June 19, 2011

PAS sekadar mendahului perubahan ? - Husam

"Nasihat saya kepada orang Melayu, kalau mereka tak berubah, politik tetap akan berubah. Trend yang ada sekarang, adalah sukar bagi Barisan Nasional muncul sebagai satu parti yang kuat dalam kerajaan yang akan datang... Maka adalah penting, orang Melayu berubah sekali dengan perubahan politik yang telah berlaku di seluruh negara, iaitu berpindah daripada menjadi pengundi tegar Barisan Nasional semata-mata, memberi satu undi kepada PAS."

Demikianlah seruan Naib Presiden PAS, Husam Musa (gambar kiri) kepada orang Melayu, sebelum menambah, "Dan jika sekiranya PAS boleh mempunyai 60 kerusi parlimen, PAS boleh jadi satu ganti untuk UMNO untuk menubuhkan satu kerajaan yang memberi kestabilan politik kepada negara."

Beliau berkata sedemikian dalam satu forum berjudul "Cabaran Transformasi Parti Politik: Ke arah Pertengahan dalam Kemajmukan", semalam. Forum anjuran Jawatankuasa Hak Civil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (CRC-SCAH) ini membariskan panelis Pengarah Eksekutif Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng, dan Lee Ban Chen, pemerhati politik, selain Husam Musa.

Berucap di depan kira-kira 80 orang hadirin dari kaum Melayu dan Cina, Husam Musa mengakui bahawa orang Melayu masih terperangkap dalam dilema ketika berdepan dengan senario politik terkini.

"Masalah dengan orang Melayu ialah, kerana mereka bimbang, hasil daripada mainan media mainstream, (bahawa) kalau berlaku perubahan politik, kedudukan orang Melayu sebagai teraju utama politik negara akan terjejas ataupun tidak. Mereka rasa dengan perubahan baru, ada kesangsian, kerana orang Melayu lazimnya, mereka akan berhati-hati memasuki territory baru, memasuki sempadan perairan yang baru. Mereka lebih meletakkan rasa bimbang lebih tinggi daripada rasional berfikir yang biasa," jelasnya.

Husam Musa mengingatkan, kebimbangan Melayu semakin ketara seandainya diapi-apikan, ataupun dibuat kenyataan yang kurang bijaksana. Beliau meneruskan, seandainya kebimbangan Melayu gagal dileraikan, maka PRU akan datang mungkin berakhir dengan ketidakseimbangan dalam Pakatan Rakyat, iaitu kerusi bukan Melayu yang terlalu banyak.

Beliau mengambil contoh pilihan raya negeri Sarawak yang berakhir pada April 2011 sebagai indikator terbaru untuk politik negara kita. Keputusan PRN Sarawak memperlihatkan peningkatan sokongan Cina terhadap Pakatan Rakyat sebanyak 15.8% kepada 75.4%, sementara penurunan 4.6% dari kalangan Melayu dan peningkatan 6.3% daripada Bidayuh dan Kadazan. Seandainya pola ini menular kepada negeri-negeri seperti Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan sebagainya, maka PR mampu meraih lebihan 27 kerusi, selain 82 yang dimenangi ketika PRU ke-12 - membawa jumlah kepada 109 kerusi, tiga kerusi lagi diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Untuk beliau, PAS kini memikul tugas untuk mendapatkan semaksimum kerusi Melayu yang mungkin, supaya membentuk sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang stabil dan seimbang, untuk perubahan politik yang mantap.

http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=11958

PRU 13: PKR bertekad tanding 97 kerusi parlimen

http://www.freemalaysiatoday.com/2011/06/19/pru-13-pkr-bertekad-tanding-97-kerusi-parlimen/

PAS-60 PKR-97 DAP- 65 = 222 KERUSI

No comments:

Post a Comment